PETALING JAYA: RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) menganjurkan program khas, Bangkit Bisnes dari Krisis 3.0 – Solusi Bisnes & Pemasaran Digital, bagi membantu golongan usahawan di negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Program yang akan diadakan mulai 27 hingga 29 Ogos itu ditaja sepenuhnya oleh RichWorks dengan menyasarkan sebanyak 100,000 pendaftaran buat semua peringkat masyarakat dan golongan usahawan yang berminat.
Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks, Radz Mohd. berkata, pergerakan yang terbatas, penutupan sempadan dan sebahagian sektor ekonomi mengakibatkan bukan sahaja perniagaan terjejas malah sampai ada yang gulung tikar.
“RichWorks sangat memahami keadaan ini, ramai usahawan yang berhubungan dengan kami di media sosial bagi mendapatkan panduan dan bantuan untuk perniagaan mereka.
“Meskipun banyak perniagaan ditutup, ada juga yang bukan saja bertahan malah menyaksikan perkembangan luar biasa ketika pandemik ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya.
Ujarnya, atas sebab itu, Mentor Usahawan dan Pakar Pemasaran No. 1 Asia, Datuk Dr. Azizan Osman ingin menganjurkan program Bangkit Bisnes itu supaya dapat memberi dorongan kepada usahawan dalam mengharungi tempoh yang sukar ini.
Radz memberitahu, terdapat dua kumpulan usahawan ketika pandemik iaitu mereka yang tidak nampak jalan menyebabkan sesetengah hanya mengeluh dan menyalahkan orang lain atau seorang yang berusaha mencari jalan penyelesaian.
“Pilihan sebenarnya ada di tangan kita sendiri untuk bertindak perbaiki bisnes dan mahu mendapatkan hasil yang mana. Seperti kata, Azizan Osman, jangan anggap negara kita akan pulih (pandemik) dalam masa terdekat.
“Pandemik ini masalah satu dunia dan kita jangan hanya tunggu dan terperangkap dengan fikir bahawa semua akan kembali normal seperti dulu. Buatlah persediaan sekarang, hari ini untuk masa depan diri, keluarga malah negara kita,” jelasnya.
Sehubungan itu, Radz menggesa golongan usahawan dan anggota masyarakat untuk hadir ke program tersebut di mana ilmu dan panduan penting dikongsikan oleh mentor usahawan terkenal itu.
Beliau menegaskan, ketika krisis ini, usahawan perlu mengadaptasi norma baharu untuk mengikuti perubahan sikap yang berlaku disebabkan Covid-19. Contohnya, ramai orang mula membeli secara dalam talian, penggunaan platform e-dagang, bekerja dari rumah dan lain-lain.
Program Bangkit Bisnes itu tertumpu kepada agenda pendigitalan bagi menggalakkan dan membimbing usahawan beralih daripada platform konvensional kepada e-dagang.
Pada tahun lalu, Richworks telah membantu 410,134 usahawan manakala bagi tahun ini, setakat Julai syarikat itu telah membantu sebanyak 453,595 usahawan.
“Itu menjadikan keseluruhan 853,729 usahawan telah dibantu setakat ini. Bagi saya, itu satu pencapaian yang baik kerana ada dalam kalangan mereka yang berjaya membangunkan semula perniagaan,” katanya. – UTUSAN










