PUPUK@AEON bantu usahawan mikro - Utusan Malaysia

PUPUK@AEON bantu usahawan mikro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan AEON Co. (M) Bhd. (AEON) melancarkan inisiatif PUPUK@AEON bagi memperkasa usahawan-usahawan mikro di seluruh negara.

Inisiatif tersebut di bawah Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ia merupakan inisiatif pendigitalan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi membantu golongan yang terkesan daripada pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, AEON berharap dapat memainkan peranan membantu dan memperkasa usahawan mengembangkan perusahaan mereka.

“Kami yakin menerusi PUPUK@AEON, kemajuan perniagaan akan turut mempertingkatkan ekonomi para usahawan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menjana pendapatan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran PUPUK@AEON secara maya, semalam.

Turut hadir, Pengerusi MCMC, Dr. Fadhullah Abdul Malek.

Menerusi kolaborasi itu, MCMC dan AEON menyasarkan 100 usahawan mikro yang berpotensi untuk diperkasa di bawah PUPUK@AEON.

Usahawan terbabit menjalankan perniagaan melalui Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara. Antara produk yang dipasarkan adalah pes makanan, kuih-muih, kerepek, biskut, makanan sejuk beku, hasil jahitan seperti pelitup muka dan pakaian harian.

PUPUK@AEON beriltizam untuk memperkasakan perusahaan mikro menerusi kaedah digitisasi yang lebih sistematik untuk pemasaran serta jualan atas talian yang lebih efektif, sistematik dan berdaya saing.

Peluang tersebut merangkumi manfaat produk jualan dan perkhidmatan AEON, kedai fizikal dan digital, rangkaian logistik dan saluran komunikasi AEON serta perkhidmatan kewangan melalui AEON Credit Service (M) Berhad.

Menerusi bantuan yang diberikan oleh PIK terpilih bersama pihak AEON, usahawan-usahawan mikro ini akan diberikan bimbingan seperti strategi pemasaran dan pembungkusan untuk menjalankan perniagaan di pasar raya AEON. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN