PETALING JAYA: Minggu ini adalah waktu yang kritikal bagi menentukan prestasi Bursa Malaysia yang dibayangi krisis politik, ekonomi dan kesihatan negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ketiga-tiga faktor tersebut saling berkait dan kestabilan politik amat ditagih bagi memastikan krisis berkenaan dapat ditangani.
Menurutnya, Bursa Malaysia dijangka akan terus dipantau oleh para pelabur terutamanya pelabur asing, sehinggalah percaturan politik yang berlaku sekarang diselesaikan secepat mungkin.
“Pada Isnin lalu, jualan saham oleh pelabur-pelabur asing melebihi pembelian iaitu sebanyak RM325juta.
“Penjualan saham di Bursa Malaysia masih diimbangi oleh pelabur institusi tempatan yang terus membuat pembelian terutamanya saham-saham mewah manakala pembeli2 runcit mengambil peluang untuk mendapatkan saham-saham syarikat yang bernilai,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kata beliau, ekonomi domestik Malaysia masih lagi dibelenggu kes jangkitan Covid-19 yang masih di aras tertinggi setakat ini iaitu lebih 17,000 kes sehari.
“Program vaksinasi yang terus meningkat dari hari ke hari memberikan sedikit harapan kepada negara,” ujarnya.
Indeks FBM KLCI ditutup 0.6 peratus atau 8.93 mata lebih rendah semalam pada paras 1,491.33 mata.
Pada rehat tengah hari, indeks itu mencatat paras terendahnya pada 1,483.73 mata. Indeks itu dibuka pada 1,497.28 mata pada pagi dengan 3.67 bilion jumlah dagangan bernilai RM2.54 bilion.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung masing-masing pada 685 dan 333 manakala 411 kaunter tidak berubah dan 763 kaunter tidak didagangkan.
Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim, penyusutan itu berikutan kes Covid-19 mencecah angka tertinggi semalam dan setelah pelabur menghadam perkembangan politik terkini negara.
Kata beliau, kebanyakan pasaran-pasaran Asia lain seperti Taiwan dan Jepun telah menunjukkan kenaikan pada hari ini berikutan prestasi korporat yang memberangsangkan di Wall Street, Amerika Syarikat.
“Antara ahli indeks FBM KLCI, Dialog dan Telekom Malaysia mencatatkan prestasi terendah apabila harga saham kedua-dua syarikat jatuh 4.1 peratus dan tiga peratus.
“Dari segi sektor pula, Indeks Kesihatan serta Indeks Pengangkutan dan Logistik telah jatuh sebanyak 1.2 peratus,” katanya. – UTUSAN











