PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalanan Nasional Berhad (PNB) melancarkan dana unit amanah baharu iaitu ASN Equity Global.
ASN Equity Global merupakan dana ASNB pertama yang memfokus kepada ekuiti global, dan akan mula ditawarkan mulai 1 September ini.
Menurut PNB, ASN Equity Global sesuai untuk pelabur dengan toleransi risiko tinggi kerana dana itu menggunakan strategi pelaburan pertumbuhan modal dengan pendedahan yang tinggi di pasaran antarabangsa.
Jelasnya, fokus pelaburan adalah pada ekuiti global dengan peruntukan aset sehingga 99 peratus, yang mana dana itu menggunakan strategi pelaburan dalam syarikat berprospek tinggi,s erta yang mendapat manfaat menerusi megtrend global.
Pelaburan permulaan minimum hanya RM10 dan pelaburan tambahan serendah RM1.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, pelancaran ASN Equity Global merupakan satu lagi kejayaan kepada PNB dan ASNB, terutama dalam menunaikan amanatnya kepada rakyat Malaysia dengan memberikan akses mudah ke pasaran global dengan permulaan yang berpatutan.
“Rangkaian produk unit amanah kami yang komprehensif kini merangkumi pelbagai geografi dan kategori dana, iaitu dana konservatif, seimbang dan pertumbuhan, yang membolehkan pemegang unit memenuhi matlamat kewangan dan pelaburan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Jelas PNB, ASN Equity Global diurusukan oleh pasukan penguru dana profesional PNB berpusat di Kuala Lumpur dan pejabatnya di London, bagi meneroka dan merebut peluang pelaburan di lebih 50 pasaran saham global utama.
Bermula 1 September ini, pelabur boleh melanggan ASN Equity Global pada harga tawaran awal RM1 seunit sehingga 21 September 2021 di semua saluran, termasuk portal www.myasnb.com.my dan aplikasi mudah alih myASNB, cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara, serta kemudahan perbankan internet ejen ASNB.
Mulai 1 September hingga 31 Disember 2021, ASNB menawarkan kadar caj jualan yang lebih rendah untuk semua langganan di kaunter. – UTUSAN










