PETALING JAYA: Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad (Petron) melaporkan pendapatan bersih sebanyak RM42 juta pada suku kedua 2021, membalikkan kerugian bersih RM69 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh pemulihan harga minyak global dan jumlah jualan domestik yang lebih tinggi.
Syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM2 bilion pada suku dilaporkan, dua kali ganda daripada RM1 bilion yang diperoleh dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh kenaikan harga minyak dan jumlah jualan.
Menurut Petron, walaupun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) pada suku kedua, jumlah jualan meningkat sebanyak 4 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu, disebabkan lebih banyak sektor dan perkhidmatan bekeperluan dibenarkan beroperasi.
“Petron menjana untung kasar sebanyak RM113 juta pada suku tersebut, pembalikan sepenuhnya daripada kerugian kasar RM68 juta pada suku yang sama tahun lalu apabila harga menjunam pada tahap yang belum pernah berlaku.
“Perolehan pegangan inventori daripada peningkatan harga dan pemulihan secara beransur-ansur dalam penjualan domestik adalah penyumbang utama kepada peningkatan margin,” katanya dalam kenyataan.
Untuk tempoh separuh pertama tahun ini, Petron meraih pendapatan bersih sebanyak RM145 juta yang merupakan pembalikan daripada kerugian RM153 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Mengulas prestasi tersebut, Pengerusi Petron, Ramon S. Ang berkata, syarikat dapat terus mengekalkan prestasi positif di atas ketahanan dan daya saing kewangan syarikat serta peningkatan keseluruhan dalam industri minyak global.
“Kami akan terus berusaha untuk memperkukuhkan inisiatif pemulihan jumlah jualan, langkah rasionalisasi kos, dan usaha pengurusan risiko yang berhemah untuk mengekalkan momentum ini walaupun terdapat ancaman wabak yang berterusan,” katanya. – UTUSAN










