Perkukuh pemangkin transformasi GLIC - Utusan Malaysia

Perkukuh pemangkin transformasi GLIC

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif Pelaburan Rakyat (Perkukuh) akan menjadi pemangkin kepada transformasi syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, sejajar dengan keperluan masa kini, usaha dan langkah perlu diambil bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompetitif walaupun GLIC telah menjadi tonggak pembangunan ekonomi Malaysia sejak enam dekad yang lalu.

“Perkukuh adalah platform tepat bagi Malaysia untuk menghadapi krisis masa kini. Tidak dinafikan pandemik ini memberi cabaran hebat, namun kita telah mengatasi pelbagai cabaran ekonomi sebelum ini dan kini sudah tiba masanya untuk GLIC menerajui fasa transformasi baharu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Inisiatif ini juga memberi peluang untuk TH menyusun semula dan memperkukuhkan urus tadbir dan kedudukan kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah Perkukuh, TH akan melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan aspek tadbir urus dan kawalan untuk melindungi TH dan pendeposit, menambah baik
operasi dan kecekapan serta menjana keuntungan dan pulangan yang berterusan kepada pendeposit bagi memastikan kelangsungan kewangan.

Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan antara lain, untuk menguatkan fokus dan memberi penekanan terhadap mandat khusus bagi dana kekayaan berdaulat dan inistitusi pelaburan rakyat.

Pengumuman ini memperkukuhkan lagi perbezaan antara GLIC sebagai Pelabur Institusi dan Dana Kekayaan Berdaulat, memberikan kejelasan yang lebih terperinci mengenai peranan dan fungsi berbeza yang dijalankan oleh setiap GLIC, selain meningkatkan fokus organisasi dalam mendukung mandat khusus untuk pihak berkepentingan masing-masing.

Sementara itu, Khazanah dalam kenyataan berasingan memaklumkan, pelancaran inisiatif itu dijangka akan membolehkan pihaknya terus melaksanakan pelaburan
pemangkin serta aktiviti lain yang menjurus ke arah mewujudkan faedah ekonomi dan sosial untuk
Malaysia.

Katanya, Khazanah akan turut memastikan tumpuan diberikan pada kepentingan Kelestarian (pertimbangan ESG dan etika) dalam semua usaha yang dilakukannya, yang mana hasilnya akan dapat dinikmati oleh generasi rakyat Malaysia pada masa kini dan akan datang.

“Menerusi Perkukuh, Khazanah akan menjuruskan tumpuannya serta memperjelaskan lagi mandatnya dengan memastikan tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam pelaburan pembangunannya menerusi hasil sasaran dan KPI pembangunan yang jelas, selain matlamat kewangan sedia ada.

“Hasil sasaran pembangunan akan dikaitkan dengan agenda dan aspirasi nasional yang menjurus kepada masa depan negara, dan akan merangkumi sasaran
seperti peningkatan pendapatan isi rumah, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta hasil sasaran sosio-ekonomi yang lain.

“Sehubungan itu, Khazanah akan memberi tumpuan pada pelaburan berimpak tinggi dan berdaya maju secara komersial untuk memangkin bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan daya saing ekonomi serta daya tahan negara, sambil memacu hasil sosio-ekonomi keutamaan, seperti yang dihasratkan di bawah Perkukuh,” jelas Khazanah.

Agensi tersebut turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan pembangunannya dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi Dana Impak berjumlah RM6 bilion yang dikendalikannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN