Perkembangan global, politik tempatan dorong prestasi Bursa - Utusan Malaysia

Perkembangan global, politik tempatan dorong prestasi Bursa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkembangan vaksinasi dan pengendalian pandemik Covid-19 di negara-negara  maju melonjakkan prestasi indeks FBM KLCI yang terus mencatatkan peningkatan sepanjang minggu ini.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks penanda aras Bursa Malaysia itu mencatatkan prestasi lebih baik semalam didorong oleh berita positif berkenaan kelulusan vaksin dua dos Pfizer/BioNTech oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) Isnin lalu.

Kata beliau, prospek memberangsangkan turut ditunjukkan negara lain seperti China yang berjaya mengendalikan pandemik Covid-19 apabila data terbaharu melaporkan tiada kes penularan tempatan dicatatkan negara itu.

“Secara domestik, kestabilan politik dilihat semakin kukuh apabila perkara yang menjadi tumpuan selepas ini ialah barisan baharu menteri Kabinet.

“Di bawah indeks FBM KLCI, Press Metal Aluminium Holdings Berhad merekodkan kenaikan tertinggi sebanyak 4.8 peratus diikuti Tenaga Nasional Berhad (YNB) sebanyak 3.1 peratus manakala Indeks Produk Industri dan Perkhidmatan mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 1.7 peratus dalam kalangan indeks-indeks sektoral,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Adam, FBM KLCI dijangka akan berlegar antara paras 1,540 mata sehingga 1,570 mata sepanjang minggu ini.

Indeks itu mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus atau 16.43 mata kepada 1,569.80 mata ketika dagangan ditutup semalam.

Sebanyak 4.55 bilion saham didadangkan sepanjang semalam bernilai RM2.89 bilion. Sejumlah 509 kaunter mencatatkan keuntungan, 532 kaunter rugi, 469 tidak berubah dan 741 tidak didagangkan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, Bursa Malaysia bereaksi positif seiring dengan pelantikan Perdana Menteri ke-9 selepas pasaran menghadapi ketidaktentuan minggu lalu.

Kata beliau, pengumuman barisan Kabinet akan menjadi faktor yang mempengaruhi prestasi Bursa Malaysia minggu ini.

“Ini mempengaruhi sentimen secara langsung kerana ia memberikan tanda-tanda tentang dasar dan polisi negara di bawah kepimpinan baharu,” katanya.

Jelas beliau, Bursa Malaysia memberikan kesan positif apabila pelabur-pelabur asing dan tempatan memilih saham mewah yang berada pada kedudukan di bawah paras harga sebenar.

“Kaunter-kaunter syarikat yang menjadi penunjuk aras kepada indeks komposit Bursa Malaysia menjadi pilihan utama.

“Ini disebabkan nilai mata wang ringgit yang rendah berbanding mata wang AS dan Singapura telah menarik pelabur membeli saham-saham mewah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN