Pensijilan jaminan kualiti produk - Utusan Malaysia

Pensijilan jaminan kualiti produk

JURUAUDIT FRIM PCS sedang memeriksa kualiti produk perabot yang dihasilkan oleh pengusaha. – GAMBAR ARKIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRIM PCS pastikan keselamatan pengguna produk berasaskan kayu

KUALA LUMPUR: Pensijilan yang dapat menjamin kualiti produk kini semakin penting bagi memastikan keselamatan pengguna.

Sering kali kedengaran berita melibatkan kemalangan yang berlaku disebabkan produk berasaskan kayu termasuk perabot yang tidak berkualiti dan masalah itu boleh diatasi sekiranya pengguna sedar kewujudan pensijilan yang menjamin kualiti sesuatu produk.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sejak dekad 1970-an telah menjalankan pemantauan terhadap kualiti produk berasaskan kayu dan peranan itu semakin diperkasa melalui penubuhan Perkhidmatan Pensijilan Produk (PCS) institut itu pada 2013.

DR. ISMAIL PARLAN

Menurut Dr. Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM, FRIM PCS ditubuhkan pada Jun 2013 bagi melaksanakan peranan FRIM sebagai badan pensijilan produk memandangkan kemudahan  fasiliti ujian dan kepakaran sudah sedia dimilikinya.

Institut itu menerima akreditasi sebagai badan pensijilan produk kelapan di Malaysia pada 12 Disember 2014 daripada Jabatan Standard Malaysia, dengan pengiktirafan yang  berasaskan kepada standard ISO/IEC 17065 (Conformity Assessment – Requirements for Bodies Certifying Products, Processes and Services).

“Badan pensijilan produk merupakan pihak ketiga yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pensijilan ke atas sesuatu produk, proses atau perkhidmatan yang dihasilkan.

“Pendek kata, sijil atau dokumen yang dikeluarkan ke atas sesuatu produk oleh badan pensijilan adalah sah dan memberi jaminan terhadap kualiti produk tersebut,” katanya.

Menurut beliau, FRIM PCS telah melaksanakan Skim ISO Jenis 5 bagi pensijilan produk dan label QR bersama tanda pensijilan FRIM PCS digunakan ke atas produk yang telah disijilkan.

Buat masa ini, katanya, FRIM PCS menawarkan perkhidmatan pensijilan untuk produk perabot (skim pensijilan perabot dan skim pensijilan perabot hijau) serta pintu rintangan api (skim  pensijilan pintu rintangan api).

Jelas beliau lagi, beberapa insiden kemalangan melibatkan perabot sebelum ini, seperti insiden murid yang tersepit kepala pada kerusi sekolah pada 2014 dan tersepit jari di lubang  kerusi pada 2020 menunjukkan bahaya penggunaan produk perabot yang tidak berkualiti.

“Kejadian ini berlaku antaranya kerana perabot sekolah yang tidak menepati spesi kasi dan standard kualiti yang ditetapkan. Pengguna perabot domestik dan bukan domestik juga  berdepan pelbagai risiko kemalangan sekiranya spesifikasi produk dan keperluan standard tidak dipatuhi.

“Sejajar dengan hasrat kerajaan merealisasikan pertumbuhan ekonomi hijau dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), FRIM mengambil inisiatif untuk meneraju penghasilan perabot berteknologi hijau yang mengambil kira kehendak pasaran antarabangsa melalui program pensijilan perabot hijau.

“Inisiatif ini diambil memandangkan FRIM mempunyai tenaga pakar dan prasarana yang lengkap serta berpengalaman luas dalam pelbagai bidang yang menyokong sebarang pembangunan produk terutamanya produk perabot.

“Usaha ini dapat turut membantu melonjakkan tahap kemandirian pengusaha perabot tempatan dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing di peringkat global,” katanya.

SKIM PENSIJILAN PERABOT

Sehubungan itu, FRIM menawarkan dua skim pensijilan perabot iaitu skim pensijilan perabot dan skim pensijilan perabot hijau.

HASHIM W. SAMSI

Hashim W. Samsi selaku Ketua Program Pemerkasaan Pensijilan Produk berkata, skim pensijilan perabot biasa melibatkan pelaksanaan audit dan ujian berdasarkan spesi kasi, nilai ergonomik dan keperluan standard antarabangsa British Standard European Norm (BS EN) dan Business and Institutional Furniture Manufacturers Association (BIFMA) untuk pengesahan keselamatan, ketahanan, kestabilan dan kekuatan produk perabot tersebut.

Sementara itu, untuk skim pensijilan perabot hijau, ia ditawarkan sebagai nilai tambah terhadap pensijilan perabot biasa bagi membolehkan pengguna membuat pilihan produk yang selamat dari segi kesihatan dan kesan kepada alam sekitar.

“Skim ini dapat menjamin pelepasan formaldehid dan kandungan sebatian organik meruap (VOC) yang rendah bagi produk perabot yang dihasilkan selain memastikan sumber bahan kayu yang digunakan adalah dari sumber hutan yang diurus secara berkekalan.

“Pensijilan produk perabot ini juga dapat memberi nilai tambah kepada pengusaha untuk memasarkan produk perabot ke pasaran antarabangsa kerana ia mempunyai jaminan kualiti, memenuhi keperluan standard antarabangsa dan mesra alam,” katanya.

SKIM PENSIJILAN PINTU RINTANGAN API

Selain itu, FRIM juga menawarkan skim pensijilan pintu rintangan api di Makmal Perlindungan Api FRIM yang telah diakreditasikan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) bagi MS ISO/IEC 17025 sejak 2003 dan diperakui di peringkat dunia melalui International Laboratory Accreditation Cooperation Mutual Recognition Arrangement (ILAC MRA).

Produk pintu rintangan api yang disijilkan FRIM telah melalui proses pemeriksaan, pengujian serta pengauditan yang ketat agar dapat mengurangkan risiko kehilangan harta dan  nyawa semasa kebakaran, terutamanya di bangunan tinggi.

Hashim menjelaskan, produk pintu rintangan api yang disijilkan FRIM terjamin kualitinya dengan ketahanan api minimum yang mana tempoh tersebut adalah mencukupi berbanding  masa tindak balas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Katanya, pensijilan produk perabot bukan keperluan wajib, sebaliknya pilihan secara sukarela oleh pihak pengusaha. Namun, Kementerian Kewangan telah menjadikan ia sebagai salah  satu syarat wajib untuk pembekalan perabot kerajaan seperti dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, PK 2.1 Lampiran 2.1 (Lampiran 1) dan telah dikuatkuasakan mulai Julai 2018.

Bagi pintu rintangan api pula, katanya, pengeluar wajib mendapatkan pensijilan produk daripada badan pensijilan yang diiktiraf JBPM sebelum Sijil Perakuan Bahan JBPM dikeluarkan.

Untuk rekod FRIM PCS telah menerima pengiktirafan JBPM pada 2 Januari 2021.

Sehingga 30 Julai 2021, sebanyak 367 sijil kepatuhan produk telah dikeluarkan kepada 82 syarikat pembuat perabot manakala lima sijil telah diterima oleh tiga syarikat pembuat pintu rintangan api.

Sebarang maklumat berkenaan FRIM PCS boleh didapati di laman web https://pcs.frim.gov.my manakala permohonan pensijilan boleh dibuat secara atas talian melalui sistem eCerti€cation di https://ecertpcs.frim.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.