Pengecualian faedah moratorium beri kesan - Utusan Malaysia

Pengecualian faedah moratorium beri kesan

Nor Shamsiah Mohd. Yunus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian bayaran faedah bagi moratorium enam bulan yang ditawarkan kerajaan berikutan cabaran pandemik, bakal memberi kesan sampingan yang serius dalam pemulihan ekonomi jangka panjang negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus menjelaskan, keuntungan yang diperoleh daripada faedah terakru semasa moratorium bertujuan untuk menampung kos pendanaan bank.

Ujarnya, ini termasuk pembayaran faedah atas deposit dan pinjaman dana lain oleh bank untuk membiayai pinjaman yang mereka berikan.

“Oleh itu, pengecualian pembayaran faedah terakru untuk semua pinjaman individu dan perniagaan di bawah moratorium akan membawa kesan jangka panjang yang signifikan.

“Jika dilihat daripada perspektif, pendapatan faedah merangkumi 80 peratus daripada pendapatan bank dan jumlah pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak untuk akaun moratorium automatik hampir RM1.4 trilion.

“Justeru, terdapat kesan yang serius jika bank mengetepikan faedah terakru memandangkan peranan penting mereka dalam ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan laporan Prestasi Ekonomi Malaysia Suku Kedua 2021 secara maya, semalam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, adalah sangat penting bagi bank untuk tetap kukuh dan mampu berdepan sebarang kemungkinan ekonomi negara sekiranya institusi kewangan terjejas.

“Bank telah bersetuju untuk mengetepikan caj kelewatan pembayaran dan faedah terkompaun pinjaman pemohon semasa moratorium untuk membantu peminjam,” ujarnya.

Menurut Nor Shamsiah, bantuan pembayaran balik yang ditawarkan oleh bank-bank Malaysia adalah yang paling meluas berbanding negara lain.

“Dengan pembukaan semula ekonomi, kami mengharapkan bantuan pembayaran lebih bersasar kerana keperluan dan keadaan kewangan setiap peminjam adalah berbeza.

“Kami menyedari bahawa peminjam mungkin terus menghadapi cabaran selepas moratorium semasa berakhir walaupun dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

“Jalan terbaik untuk membantu golongan ini adalah dengan pengurusan hutang yang baik. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia untuk membantu membincangkan rancangan kewangan alternatif kepada peminjam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN