
PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM1.9 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2021, berbanding RM185 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan turut mencatat lonjakan pendapatan sehingga 77 peratus kepada RM5.6 bilion berbanding RM3.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, didorong lonjakan harga produk petrokimia dan kenaikan harga minyak mentah.
PCG juga mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM1.84 bilion yang merupakan 55 peratus daripada PAT suku pertama 2021 (RM3.3 bilion).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah berkata, kenaikan harga minyak mentah pada suku kedua 2021, digabungkan dengan kenaikan permintaan petrokimia, telah mengukuhkan harga produk dan meningkatkan margin keuntungan.
Ujarnya, berbanding tahun sebelumnya, harga polimer dan urea masing-masing meningkat sekitar 70 dan 60 peratus, manakala harga ammonia dan metanol meningkat dua kali ganda.
“Saya gembira dengan prestasi yang dicatatkan memandangkan persekitaran kerja yang semakin mencabar disebabkan wabak Covid-19. Model perniagaan PCG yang menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial memastikan kami memperolehi peluang pasaran sambil mengharungi gangguan rantaian bekalan global.
“Sebagai contoh, kami dapat mengoptimumkan pengeluaran untuk memenuhi keperluan pelanggan walaupun sewaktu PCG sedang menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Bagi prospek PCG untuk bulan-bulan seterusnya tahun ini, beliau memaklumkan Kumpulan menjangkakan kenaikan harga yang sederhana bagi suku kedua.
“Memandangkan pencapaian yang memberangsangkan bagi suku pertama 2021, peningkatan keseluruhan prestasi kami tahun ini sangat menggalakkan. Kami akan meneruskan langkah pengoptimuman kos bagi memaksimumkan prestasi kewangan dalam keadaan industri semasa yang kian meningkat.
“Keuntungan kumpulan akan terus disumbangkan oleh kapasiti pengeluaran PCG sedia ada. Kapasiti baharu, terutama daripada fasiliti petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang, belum mula menyumbang kepada keuntungan PCG tahun ini.
“Kami akan meneruskan usaha dalam memulakan operasi dengan selamat dan berjaya bagi kompleks bersepadu tersebut menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) kumpulan meningkat RM2.1 bilion berbanding RM695 juta dalam suku sama tahun lalu, dibantu oleh harga dan penyebaran produk yang lebih tinggi.
Dividen interim sebanyak 23 sen sesaham, diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. Dividen berjumlah RM1.84 bilion bakal dibayar pada September 2021.
Menurut PCG, operasi Kumpulan kekal kukuh pada suku kedua 2021, dengan volum jualan pada 2.1 juta tan metrik dan kadar penggunaan loji sebanyak 97 peratus. – UTUSAN










