MPOB, SME Corp. anjur webinar peluang komersial teknologi sawit - Utusan Malaysia

MPOB, SME Corp. anjur webinar peluang komersial teknologi sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama SME Corp. akan menganjurkan webinar pada Khamis ini (5 Ogos), bagi membincangkan Peluang Pengkomersialan Teknologi MPOB dan Dana Bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut MPOB, sesi webinar itu akan menampilkan ahli panel terdiri daripada Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir yang akan berkongsi peluang pengkomersialan teknologi MPOB kepada usahawan PKS dan penggiat industri sawit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy pula akan membincangkan penyediaan dana bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan PKS bagi pengkomersialan teknologi dalam industri sawit.

“Sehingga 2021, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan untuk dikomersialkan oleh pihak industri dan usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah MPOB, pihaknya turut menyediakan peluang pengkomersialan teknologi meliputi khidmat kepakaran dan rundingan serta fasiliti penyelidikan.

Pengkomersialan teknologi MPOB dalam industri sawit jelasnya, mewujudkan situasi menang-menang bagi kemajuan sektor berkenaan.

“Program secara maya anjuran MPOB dan SME Corp. sejajar dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor PKS khususnya melalui penglibatan dalam meneroka peluang perniagaan dalam industri sawit yang merupakan antara sektor utama ekonomi negara,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara percuma dengan menghubungi Unit Pelaksanaan Korporat dan Perundingan MPOB di 03-8769 4574 atau sertai secara langsung melalui Facebook MPOB dan SME Corp. Khamis ini, pukul 3 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN