Maybank catat untung bersih RM1.96 bilion - Utusan Malaysia

Maybank catat untung bersih RM1.96 bilion

ABDUL FARID ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih RM1.96 bilion untuk suku kedua 2021, peningkatan RM1.02 bilion berbanding RM941.73 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Untuk separuh pertama 2021, syarikat perbankan itu mengumpul untung bersih sebanyak RM4.35 bilion berbanding RM2.99 bilion pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan sebanyak RM1.36 bilion.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Farid Alias, peningkatan prestasi itu didorong pinjaman yang terus meningkat, margin faedah bersih (NIM) berkembang dari gabungan dana yang lebih menjimatkan kos serta kerugian rosot nilai yang lebih rendah berbanding tahun lalu.

Kata beliau, Maybank berjaya mencatat pertumbuhan pendapatan operasi bersih yang stabil pada suku tersebut dengan peningkatan sebanyak 9.3 peratus kepada RM6.17 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Ini disebabkan peningkatan 26.4 peratus dalam pendapatan berdasarkan dana bersih hasil daripada pengembangan pinjaman dan pertumbuhan yang kukuh dalam deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) kos rendah, yang lebih daripada mengimbangi penurunan 27 peratus dalam pendapatan berdasarkan fi bersih yang sebahagian besarnya disebabkan kesan sekatan pergerakan di rantau ini.

“Tambahan pula, pendapatan berdasarkan dana bersih tahun lalu lebih rendah kerana terdapat kerugian pengubahsuaian Hari-1 yang ketara ekoran moratorium penuh enam bulan berkuat kuasa 1 April 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman prestasi kewangan Maybank yang diadakan secara maya semalam.

Walau bagaimanapun, secara suku ke suku, untung bersih Maybank pada suku kedua lebih rendah berbanding RM2.39 bilion yang dicatatkan pada suku pertama lalu.

Menurut Abdul Farid, ia sebahagian besarnya disebabkan penurunan pendapatan berdasarkan fi bersih akibat peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dan kerugian pelaburan berbanding harga pasaran serta perbelanjaan overhead yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa Maybank tidak memohon lesen bank digital kerana kata beliau, bank itu sudah memulakan usaha ke arah perbankan digital sejak 2014.

Kata beliau, Maybank telah menawarkan pelbagai perkhidmatan berasaskan digital melalui platformnya termasuk perbankan digital, tabung digital dan penjejak perbelanjaan.

“Usaha kami ke arah perbankan digital bukan bermula tahun lalu, tetapi pada 2014.

“Kami mempunyai pilihan untuk memperkenalkan perbankan digital melalui lesen yang kami ada sekarang jadi kami yang perlu mohon (lesen bank digital),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN