PETALING JAYA: Suruhanjaya Pernerbangan Malaysia (Mavcom) menurunkan ramalan trafik penumpang udara 2021 kepada 5.3 juta sehingga 6.1 juta penumpang berbanding ramalan asal pada April sebanyak 18.9 juta hingga 20.6 juta penumpang.
Jumlah tersebut bersamaan penguncupan antara 77 peratus hingga 80.2 peratus tahun ke tahun.
Menurut suruhanjaya itu, semakan semula itu dibuat dengan mempertimbangkan faktor muatan yang lebih rendah serta tempoh pemulihan kapasiti tempat duduk yang lebih lama oleh syarikat-syarikat penerbangan.
Pada suku kedua tahun ini, Mavcom melaporkan jumlah trafik penumpang udara mencapai 1.3 juta, jumlah terendah sejak 0.8 juta yang dicapai pada suku kedua tahun lalu.
Pertumbuhan tersebut adalah sebanyak 62 peratus tahun ke tahun disebabkan kesan asas yang rendah.
“Walaupun terdapat penurunan dalam jumlah trafik penumpang udara, penerbangan jarak pendek domestik dijangka meningkat berikutan kelonggaran sekatan pergerakan bagi penumpang yang telah menerima suntikan dos vaksin yang lengkap,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mavcom, walaupun terdapat penyusutan jumlah trafik penumpang udara, pihaknya mendapati jumlah kargo Malaysia meningkat sebanyak 80.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021.
Katanya, ia ekoran permintaan yang tinggi terhadap vaksin, peralatan perubatan, peralatan pelindung diri, komponen elektrik dan elektronik (E&E) serta pertumbuhan kukuh yang dilihat dalam industri e-dagang.
“Mavcom meramalkan jumlah trafik kargo udara pada 2021 akan meningkat antara 26.5 peratus dan 28.2 peratus tahun ke tahun dan pulih ke tahap sebelum krisis.
“Walaupun penularan wabak Covid-19 masih tinggi, Mavcom melaporkan bahawa pemain-pemain utama kargo di Malaysia telah menambah laluan udara. Ini menunjukkan terdapat kemungkinan peningkatan jumlah operasi kargo Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.
Selain itu, Mavcom berkata, pihaknya telah meluluskan 100 peratus daripada 34 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) yang diterima pada separuh pertama 2021 setakat 30 Jun lalu.
Suruhanjaya itu menjelaskan, ia merupakan peningkatan 25.9 peratus tahun ke tahun berbanding 27 permohonan pada separuh pertama tahun lalu. – UTUSAN










