SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) yakin dapat mengekalkan penjualan yang kukuh serta prestasi pendapatan RM1.2 bilion untuk tahun kewangan 2022 walaupun berhadapan dengan sentimen pasaran yang mencabar.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, keuntungan bersih kumpulan meningkat dua peratus kepada RM31.7 juta di atas pendapatan berjumlah RM163.4 juta pada suku pertama 2022 yang berakhir 30 Jun 2021.
“Keuntungan tersebut didorong oleh permintaan yang tinggi dalam hartanah
selain tawaran yang berpatutan, serta pengurangan perbelanjaan penjualan dan pemasaran sebanyak 15.6 peratus bagi menjimatkan kos sesuai dengan faktor penutupan sektor tertentu dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Syarikat kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2022,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Mohamad Haslah, ia berdasarkan prestasi cemerlang yang dicapai pada tahun sebelumnya selain didorong oleh pembangunan hartanah baharu di Sendayan yang berjaya memperoleh jualan RM300.9 juta pada suku pertama 2022.
“Berdasarkan trend tempahan, kami melihat permintaan yang tinggi untuk rumah-rumah mampu milik (atas tanah) dan ingin memenuhi pasaran dengan melancarkan lebih banyak rumah kategori tersebut.
“Walaupun berhadapan cabaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan, jualan hartanah baharu kumpulan berjaya mencapai sasaran pada suku pertama 2022,” katanya.
Mohamad Haslah berkata, kumpulan berhasrat melancarkan hartanah bernilai RM1.6 bilion untuk tahun kewangan 2022 meningkat berbanding RM1 bilion pada tahun sebelumnya.
“Projek baharu di Sendayan, Negeri Sembilan akan mencapai 65 peratus daripada daripada jumlah tersebut manakala Kuala Lumpur dan Johor masing-masing akan menyumbang 25 peratus dan 10 peratus.
“Selain itu, sumbangan pendapatan daripada harta tanah kediaman meningkat 4.8 peratus kepada RM146.3 juta, sementara harta tanah komersial meningkat 117.3 peratus kepada RM6.2 juta pada suku pertama 2022,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan daripada pelaburan hartanah pula adalah 16.6 peratus lebih tinggi kepada RM7.9 juta, mengurangkan sumbangan hasil 75.5 peratus lebih rendah iaitu sebanyak RM3.2 juta daripada harta industri.
“Jualan yang belum dibilkan meningkat kepada RM1.04 bilion pada 30 Jun 2021 berbanding RM1.02 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, memberikan pendapatan yang kukuh bagi tempoh 12 hingga 15 bulan,” katanya.
Tambah Mohamad Haslah, kumpulan turut mengumumkan dividen satu peringkat interim pertama sebanyak 2.0 sen sesaham menjadikan pembayaran berjumlah RM16.7 juta atau 54.7 peratus daripada keuntungan bersih pada suku pertama 2022. – UTUSAN










