Malaysia rekod defisit perdagangan produk makanan RM21.7 bilion - Utusan Malaysia

Malaysia rekod defisit perdagangan produk makanan RM21.7 bilion

MALAYSIA mengimport bahan makanan untuk haiwan berjumlah RM4.6 bilion pada 2020. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Malaysia mengimport sebanyak RM55.5 bilion produk makanan tahun lalu berbanding eksport jauh lebih rendah berjumlah RM33.8 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan yang lebih laju dalam import berbanding eksport telah mendorong peningkatan defisit perdagangan produk makanan berjumlah RM21.7 bilion pada 2020.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, import makanan terkumpul berjumlah RM482.8 bilion, berbanding eksport RM296 bilion, menjadikan defisit berjumlah RM186.8 bilion.

“Di samping itu, Malaysia sangat bergantung kepada import daging kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion) untuk memenuhi permintaan domestik.

“Lebih 70 peratus daging kambing yang diimport berasal dari Australia sementara mangga, kelapa dan daging lembu masing-masing diimport dari Thailand, Indonesia dan India,” katanya dalam kenyataan mengenai Akaun Pembekalan dan Pengguna Komoditi Pertanian Terpilih 2016-2020.

Ia memaparkan statistik pengeluaran, eksport dan import serta indikator kadar sara diri (SSR), kadar kebergantungan import (IDR) dan penggunaan per kapita bagi 45 komoditi pertanian terpilih meliputi tiga kategori iaitu tanaman, ternakan dan perikanan.

Mohd. Uzir berkata, pada tahun lalu, sebanyak 24 daripada 45 item menunjukkan trend penurunan bagi IDR yang disumbangkan oleh sekatan perdagangan antarabangsa ekoboran pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Beliau berkata, lapan item pada tahun lalu melebih 50 peratus IDR iaitu sotong, susu segar, kobis bulat, cili, daging lembu/kerbau, halia, mangga dan daging kambing/bebiri.

“Nilai IDR ini mengukuhkan bahawa Malaysia sangat bergantung kepada import daging kambing, mangga dan daging lembu untuk memenuhi permintaan tempatan,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, antara faktor yang mengekang prestasi sektor pertanian adalah berkaitan kos bahan mentah yang lebih tinggi terutama untuk komoditi berkaitan produk makanan, dengan import bahanan untuk haiwan pada tahun lalu sahaja berjumlah RM4.6 bilion, sementara baja RM3.2 bilion.

Kata beliau, tahun lalu, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) secara keseluruhannya sebanyak 7.4 peratus dan secara relatifnya adalah kecil berbanding negara jiran seperti Indonesia (13.7 peratus) dan Thailand (8.6 peratus).

“Pada 2020, 19 item di bawah komoditi pertanian terpilih merekodkan SSR melebihi 100 peratus berbanding 25 item pada 2019,” katanya.

Menurut beliau, usaha untuk memberi nafas baharu kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi akan dapat meningkatkan pengeluaran pertanian serta mengatasi masalah pengangguran.

“Oleh kerana jumlah pengangguran di peringkat nasional melebihi nilai ambang pra-pandemik dan kekal tinggi pada 768,700 orang pada Jun 2021, industri pertanian berpotensi untuk menawarkan pekerjaan dan peluang kerjaya terutama untuk belia dan siswazah yang secara tidak langsung dapat mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di industri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN