PETALING JAYA: Handal Energy Berhad (Handal) kembali merekodkan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, iaitu kali pertama selepas enam tahun, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.77 juta, berbanding kerugian RM26.4 juta tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM25.8 peratus untuk suku keempat berakhir 30 Jun lalu, peningkatan 61 peratus daripada RM16.02 juta direkodkan tempoh sama tahun kewangan 2020.
Menurut Handal, pemulihan dalam pendapatan untuk suku dilaporkan disumbangkan oleh segmen perkhidmatan kejuruteraan saluran paip, yang menyumbang kira-kira RM15.17 juta atau 58.8 peratus, diikuti segmen perkhidmatan kren persepadu sebanyak 36.9 peratus atau RM9.51 juta.
“Peningkatan perniagaan dari segmen perkhidmatan kejuruteraan saluran paip terutama disebabkan oleh pengasingan saluran paip dan operasi `pigging’, sementara peningkatan segmen perkhidmatan kren bersepadu disokong oleh perkhidmatan penyelenggaraan baik pulih tahunan,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Handal, Sunildeep Dhaliwal berkata, dengan prestasi itu, Kumpulan telah kembali kepada kedudukan kewangan yang kukuh.
“Pemulihan Handal berjalan baik dan ia mengujakan melihat syarikat kembali mencatatkan keuntungan dengan memecahkan rekod kerugian sejak enam tahun lau, hasil daripada strategi pengurusan perniagaan yang dilaksanakan.
“Prestasi kewangan tahun ini mengesahkan kemajuan pemulihan kewangan Handal. Kami bangga bahawa semua usaha kami sepanjang tahun kewangan kini membuahkan hasil, berkat proses kecemerlangan operasi Kumpulan sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan kami yang berjaya menghasilkan kejayaan walaupun menghadapi cabaran global akibat wabak pandemik,” katanya.
Dhaliwal berkata, untuk menyelaraskan perniagaan dengan realiti pasaran, Kumpulan telah mengambil beberapa langkah, termasuk pengoptimuman pembiayaan dan pengelolaan aliran tunai, serta inisiatif pendanaan untuk menghadapi cabaran daripada pandemik.
Melangkah kehadapan katanya, Handal tetap fokus pada pelaksanaan rancangan yang akan memastikan kelangsungan perniagaan dan keuntungan, dengan lebih banyak tender projek dalam perancangan.
“Kami tetap yakin dan bertekad untuk meneruskan usaha meningkatkan kemampuan kami pada suku akan datang,” katanya. – UTUSAN










