
PETALING JAYA: KUB Malaysia Berhad (KUB) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM158.6 juta dan perolehan berjumlah RM584 juta bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021.
Keuntungan itu disumbangan sebahagian besarnya oleh pelupusan dua aset perniagaan bukan teras dan bukan strategik syarikat iaitu ladang kelapa sawit dan syarikat bersekutu yang terlibat dalam pengurusan sisa sanitari.
Menurut KUB, di sebalik persekitaran operasi yang mencabar disebabkan pelaksanaan sekatan yang panjang untuk membendung Covid-19, sektor-sektor utama Kumpulan kekal merekodkan keuntungan.
“Kedudukan tunai Kumpulan juga menokok daripada RM145.6 juta pada 31 Disember 2019 kepada RM423.1 juta pada 30 Jun 2021 dengan nisbah penggearan pula susut daripada 31 peratus kepada 8 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas prestasi tersebut, Pengerusi KUB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan kewangan itu menggambarkan usaha Kumpulan melakukan transformasi bagi mengurangkan sebarang kerugian disebabkan pelupusan perniagaan bukan teras dan bukan strategik.
Ia juga menggambarkan usaha Kumpulan untuk fokus kepada segmen perniagaan terasnya.
“Mengambil kira latar belakang operasi dan cabaran ekonomi, saya percaya kami berada pada tahap yang lebih kuat dan stabil untuk menjayakan pelan strategi masa hadapan untuk menjadi syarikat yang mampan dan menguntungkan,” katanya. – UTUSAN










