PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia tumbuh 7.1 peratus pada separuh pertama 2021, namun krisis kesihatan yang berpanjangan boleh merencatkan momentum pemulihan beberapa bulan akan datang, lapor Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, imbangan akaun semasa (CAB) negara mencatatkan lebihan sebanyak RM14.4 bilion, melonjak 17.2 peratus daripada suku pertama 2021.
Beliau berkata, lebihan itu sebahagianya didorong oleh prestasi barangan yang lebih bail serta defisit yang lebih rendah dalam pendapatan sekunder.
“Akaun barangan mencatatkan lebihan lebih tinggi iaitu RM40.7 bilion berikutan eksport dan import barangan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada suku ini. Eksport meningkat sebanyak RM18.5 bilion kepada RM244.0 bilion sementara import bertambah sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, negara terus merekodkan aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM8.2 peratus, manakala Pelaburan Langsung di Luar Negara (DIA) oleh pelabur Malaysia pula merekodkan aliran keluar bersih RM4 bilion pada tempoh dilaporkan.
Tambah Mohd. Uzir, perdagangan Malaysia melonjak kepada 39.0 peratus tahun ke tahun, terutamanya disumbangkan oleh kesan asas yang rendah dan permintaan luaran yang lebih baik manakala lebihan dagangan meningkat kepada RM56.4 bilion, 122.7 peratus lebih tinggi berbanding suku kedua 2020.
Mengenai senario buruh, beliau berkata, bagi tempoh dilaporkan, jumlah penduduk bekerja meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 15.21 juta orang daripada 14.88 juta suku sama tahun lalu.
Trend meningkat juga diperhatikan pada nisbah guna tenaga kepada penduduk yang meningkat 0.4 mata peratus kepada 65.0 peratus, sementara kadar pengangguran turun 0.3 mata peratus untuk merekodkan 4.8 peratus, katanya.
“Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan masih berterusan, momentum pemulihan ekonomi Malaysia dijangka terjejas berikutan lonjakan kes harian yang merencatkan prospek prestasi kukuh pada suku ketiga 2021,” katanya.
Berdasarkan senario tersebut, kata Mohd. Uzir, Indeks Pelopor (IP) mencatatkan pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan 0.5 peratus pada Jun 2021, namun IP menurun 2.8 peratus bulan ke bulan.
“Oleh itu, prospek ekonomi Malaysia yang lebih mencabar telah diunjurkan bagi bulan akan datang. Sejajar dengan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahunan bagi Malaysia antara tiga hingga empat peratus berbanding unjuran sebelumnya antara enam hingga 7.5 peratus untuk tahun 2021,” katanya. – UTUSAN










