Keyakinan perniagaan merosot 21.3 peratus - Utusan Malaysia

Keyakinan perniagaan merosot 21.3 peratus

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 menyebabkan sektor perniagaan menutup operasi mereka dan memerlukan masa untuk kembali pulih. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keyakinan perniagaan pada suku ketiga tahun ini merosot 21.3 peratus berbanding -3.1 peratus suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peniaga lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka dengan semua sektor menjangkakan keadaan kurang menggalakkan berikutan pandemik Covid-19 yang semakin teruk dan berpanjangan.

“Petunjuk keyakinan bagi sektor Perdagangan Borong dan Runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4 peratus berbanding +5.6 peratus pada suku tahun kedua 2021 disebabkan oleh peniaga yang kurang berkeyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang bagi kedua-dua subsektor iaitu Perdagangan Borong dan Perdagangan Runcit.

“Sementara itu, sektor Industri dan Perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada 11.0 peratus dan 22.8 peratus pada suku tahun ketiga berbanding 1.5 peratus dan 6.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pada masa yang sama, sektor Pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan 4.0 peratus berbanding 30.5 peratus yang dicatatkan pada suku tahun lalu.

Dari segi pekerjaan, katanya, majoriti pertubuhan (76.5 peratus) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan.

Mohd. Uzir menjelaskan, sebanyak 8.5 peratus pertubuhan menjangkakan pengambilan pekerja yang lebih ramai, manakala 15.0 peratus berhasrat untuk mengurangkan tenaga kerja seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -6.5 peratus untuk suku tahun ketiga 2021.

“Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7 peratus berbanding +11.0 peratus yang direkodkan bagi tempoh April hingga September 2021.

“Sama seperti jangkaan untuk tiga bulan mendatang, kesemua sektor menjangkakan prospek negatif dengan sektor yang merekodkan pesimis yang paling kecil adalah Industri,” jelasnya.

Tambah beliau, sektor Industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5 peratus kepada -11.8 peratus untuk separuh kedua tahun 2021.

Pada masa yang sama, Mohd. Uzir memberitahu, sektor Perkhidmatan dan Pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -14.2 peratus dan -24.2 peratus berbanding +8.4 peratus dan +6.1 peratus dicatatkan bagi tempoh April hingga September 2021.

“Sektor Perdagangan Borong dan Runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -59.7 peratus berbanding +12.5 peratus yang direkodkan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN