Kerajaan perlu umum bantuan tepat bantu PKS - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu umum bantuan tepat bantu PKS

PENIAGA kecil dan PKS merupakan antara sektor paling terjejas berikutan penutupan ekonomi akibat pandemik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan bantuan yang lebih efektif bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara dapat terus bertahan termasuk mengurangkan kadar cukai untuk RM500,000 pendapatan kena cukai yang pertama.

Ini boleh mendorong pelaburan semula PKS yang masih beroperasi sekali gus mengekang lebih banyak PKS gulung tikar.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, bagi membantu aliran tunai PKS, kerajaan juga boleh membuat pengecualian pembayaran levi kepada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga hujung tahun ini.

Jelasnya, ia penting supaya penjimatan tersebut dapat digunakan untuk membayar gaji pekerja dan sewa premis perniagaan.

Kata beliau, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga seharusnya diarah menghentikan aktiviti siasatan besar-besaran yang sedang berlaku terhadap PKS sehingga hujung 2022.

“Berilah peluang kepada PKS untuk menjana kembali pendapatan mereka dan janganlah ibarat menangguk di air keruh.

“Selain itu, bagi memberikan rangsangan fiskal kepada sektor runcit yang terkesan akibat pandemik, kerajaan perlu mempertimbangkan penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar yang lebih rendah iaitu 4.0 peratus agar cukai input boleh ditolak daripada cukai output PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang menegaskan kerajaan akan terus membantu pengusaha PKS yang terjejas akibat pandemik.

Ini berikutan keadaan PKS yang tidak mampu bertahan dan beliau turut menegaskan, setakat ini lebih RM20 bilion sudah dibekalkan kerajaan dalam bentuk pinjaman mudah melalui skim pinjaman Bank Negara Malaysia (BNM) dan skim pembiayaan mikro kredit kepada PKS.

William berpendapat, kerajaan sepatutnya lebih prihatin terhadap PKS dari mula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

“Contohnya, Samenta telah lama meminta supaya moratorium automatik diberikan kepada mana-mana PKS yang memerlukan moratorium dan bukannya diserahkan kepada budi bicara bank.

“Kelangsungan dasar amat penting untuk semua perniagaan termasuklah PKS dan prosedur operasi standard (SOP) yang kerap berubah amat menjejaskan perancangan perniagaan,” ujarnya.

Tambah beliau, sehingga kini, lebih daripada satu per empat PKS telahpun tumpas. Fokus Majlis Pemulihan Negara seharusnya di dalam mencari kaedah untuk mengelakkan PKS yang selebihnya turut gulung tikar.

“Justeru, semua sektor ekonomi harus dibuka secepat mungkin, walaupun dengan SOP yang lebih ketat. Jangan terus ‘pilih bulu’ dengan membezakan sektor perlu dan tidak perlu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×