BNM turunkan unjuran berbanding 6 hingga 7.5 peratus sebelum ini
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 3.0 hingga 4.0 peratus pada tahun ini.
Unjuran itu lebih rendah berbanding ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu antara 6.0 hingga 7.5 peratus.
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus memberitahu, unjuran lebih rendah itu selepas mengambil kira pelaksanaan semula langkah-langkah membendung penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.
Ujarnya, semakan semula itu turut mengambil kira perkembangan ekonomi global yang terkini, pelaksanaan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta andaian peralihan berperingkat ke fasa seterusnya bagi setiap negeri.
“Jangkaan pembukaan semula ekonomi akan membantu menyokong pemulihan secara beransur-ansur pada suku ketiga dan bertambah baik menjelang akhir suku keempat tahun ini.
“Keadaan tersebut dipacu pertumbuhan global yang lebih tinggi dan sokongan dasar yang berterusan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2021 secara maya, semalam.
KDNK suku kedua negara merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 16.1 peratus berbanding -0.5 peratus pada suku pertama 2021.
Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.
Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, walaupun prospek pertumbuhan jangka pendek terkesan dengan penularan kes wabak Covid-19, ekonomi negara masih berada dalam landasan pemulihan berdasarkan keberkesanan program pemberian vaksin yang menjadi pemangkin utama pembukaan sektor ekonomi negara.
“Hal ini akan membolehkan sektor ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur serta meningkatkan sentimen isi rumah dan perniagaan, sekali gus mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah-langkah pembendungan dilonggarkan,” ujarnya.
Nor Shamsiah memberitahu, pemulihan dijangka terus pesat pada 2022, disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal serta limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat.
“Faktor utama adalah pemulihan yang kuat dalam sektor eksport berdasarkan peningkatan permintaan global namun, fasa pemulihan bagi beberapa sektor ekonomi seperti perkhidmatan dan pelancongan dijangka perlahan,” katanya.
Tambah beliau, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan pengeluaran komoditi, wujudnya sedikit permintaan terpendam dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan penamatan sekatan.
“Bagi tempoh terdekat, inflasi keseluruhan diunjur sederhana apabila luputnya kesan asas harga bahan api.
“Bagi 2021, purata inflasi keseluruhan dijangka antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus. Inflasi asas, yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” jelasnya.
Bank pusat itu turut mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus bagi menyokong ekonomi dan memastikan tekanan harga masih terkawal.
Sementara itu, Bursa Malaysia memberi respons positif kepada pengumuman KDNK suku kedua apabila ditutup lebih tinggi berbanding kelmarin.
Pada sesi dagangan semalam, bursa meningkat 3.14 mata ditutup pada 1,505.11 mata selepas melalui prestasi turun naik sepanjang hari dengan nilai 3.48 bilion. Bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 578 berbanding 373. – UTUSAN










