PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia mengukur kadar inflasi dalam negara bagi Julai 2021 meningkat 2.2 peratus kepada 122.5 berbanding 119.9 pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan yang sederhana itu antaranya disebabkan oleh diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk tempoh tiga bulan efektif 1 Julai 2021.
“Bagaimanapun, IHP masih kekal positif memandangkan terdapat kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada bulan tersebut berbanding setahun yang lalu.
“IHP kekal positif untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari 2021 disebabkan kesan asas yang rendah pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, peningkatan itu didorong terutama oleh kenaikan dua angka beberapa indeks pengangkutan sebanyak 11.6 peratus berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter sejak Mac lalu, berbanding harga purata RM1.69 pada Julai 2020.
Tambah beliau, ia diikuti oleh hiasan perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7 peratus).
Mohd. Uzir menjelaskan, IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, dengan indeks teras turut meningkat 0.7 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Antara kumpulan utama mendorong kepada kenaikan itu adalah hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.1 peratus), pengangkutan (1.0 peratus), restoran dan hotel (0.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (0.6 peratus).
Indeks teras, katanya, meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.
“Namun begitu, bagi perbandingan bulanan, IHP menurun 0.6 peratus berbanding Jun 2021. Penurunan itu disumbangkan oleh kadar negatif bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.5 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (-0.1 peratus).
“IHP tanpa bahan api yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan Diesel meningkat 0.8 peratus pada Julai 2021 kepada 113.2 berbanding 112.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Selain itu, indeks bagi lima negeri turut melepasi paras IHP nasional iaitu Terengganu (2.8 peratus), Pahang (2.5 peratus), Selangor dan Putrajaya (2.4 peratus), Kelantan (2.4 peratus) dan Sarawak (2.3 peratus),” katanya. – UTUSAN










