PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan bahawa, Sharinah Mohamed Iqbal, rakan audit PKF, telah dikenakan denda kerana melanggar Seksyen 31Z(1)(b) Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA).
Pelanggaran itu membabitkan kegagalan mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa semasa mengaudit entiti kepentingan awam (PIE).
Menurut SC, mematuhi piawaian audit merupakan syarat pendaftaran untuk semua individu yang berdaftar dengan AOB.
“Sebagai Rakan Kongsi Tugasan (Engagement Partner) yang bertanggungjawab ke atas audit PIE, Sharinah telah gagal melaksanakan prosedur audit yang sewajarnya dan memperoleh bukti audit yang kukuh untuk menyokong pendapat audit berkaitan kemampuan PIE untuk kekal beroperasi.
“Secara khususnya, Sharinah telah gagal membuat susulan ke atas status pinjaman bank PIE berkenaan dan memperolehi bukti audit yang selanjutnya untuk menyokong kesimpulannya berkaitan dengan kemampuan PIE itu untuk membayar pinjaman banknya,” katanya suruhanjaya itu dalam kenyataan.
SC berkata, Sharinah juga tidak melakukan penilaian kuantitatif ke atas kedudukan aliran tunai PIE yang lemah dan kemampuannya untuk memenuhi semua komitmen dan obligasinya.
“Sharinah tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan AOB tersebut dalam tempoh yang ditentukan di dalam SCMA,” katanya.
SC merupakan badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.
Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal.
SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. – UTUSAN










