Jumlah dagangan Malaysia berkembang 13 peratus, cecah RM181.1 bilion - Utusan Malaysia

Jumlah dagangan Malaysia berkembang 13 peratus, cecah RM181.1 bilion

PENINGKATAN eksport disumbangkan terutama oleh eksport yang lebih tinggi antaranya ke Singapura. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia berkembang 13 peratus, mencecah RM181.1 bilion pad Julai lalu, dengan 157 kumpulan barangan mencatatkan pertumbuhan positif, demikian lapor Jabatan Perangkaan.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Ser Dr. Mohd. Uzir Mahidin, di sebalik senario yang tidak menentu kesan pandemik Covid-19, eksport dan imports negara pada bulan dilaporkan, menunjukkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan masing-masing lima dan 24 peratus.

Beliau berkata, peningkatan eksport disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Katanya, eksport domestik bernilai RM76.6 bilion menyumbang 78.7 peratus kepada jumlah eksport, berkembang 5.9 peratus tahun ke tahun, sementara eksport semula berjumlah RM20.7 peratus meningkat dua peratus.

“Import pada Julai 2021 berjumlah RM83.6 bilion, naik 24 peratus berbanding Julai 2020, melepasi pertumbuhan eksport untuk tiga bulan berturut-turut.

“Lebihan dagangan bernilai RM13.7 bilion, menurun 45.8 peratus. Jumlah dagangan Malaysia berkembang 13 peratus, mencecah RM181.0 bilion, tahun ke tahun.

“Walau bagaimanapun, kesan daripada aktiviti ekonomi dalam negara yang perlahan, prestasi bulan ke bulan bagi eksport, jumlah dagangan dan lebihan dagangan menujukkan penurunan masing-masing 7.7 peratus, 4.1 peratus dan 38.5 peratus. Sebaliknya, import meningkat sedikit 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, selaras dengan pertumbuhan tahunan, 119 daripada 249 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, sementara bagi import, 171 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Menurut Jabatan Perangkaan, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (RM1.2 bilion), Australia (RM841.4 juta), Bangladesh (RM743.2 juta), Indonesia (RM632.0 juta) dan Jepun (RM597.6 juta).

Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan import (RM5.7 bilion), diikuti Kesatuan Eropah (RM2.3 bilion), Indonesia (RM1.6 bilion), Korea (RM1.6 bilion), Brazil (RM1.5 bilion), Taiwan (RM1.2 bilion) dan Jepun (RM963.9 juta).

“Peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (RM4.4 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (RM2.0 bilion); kimia & bahan kimia (RM1.5 bilion); gas asli cecair (RM1.3 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.3 bilion) dan barangan perkilangan logam (RM661.1 bilion).

“Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (RM2.9 bilion); barangan elektrik & elektronik (RM2.6 bilion); bijih logam dan sekerap logam (RM2.2 bilion); kimia & bahan kimia (RM2.1 bilion); kelengkapan pengangkutan (RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (RM785.3 juta) dan petroleum mentah (RM722.0 juta),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN