Izlyn Ramli dilantik Pengarah Yayasan TM - Utusan Malaysia

Izlyn Ramli dilantik Pengarah Yayasan TM

IZLYN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Komunikasi Strategik Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Izlyn Ramli dilantik sebagai Pengarah Yayasan TM (YTM) berkuat kuasa semalam.

Menurut TM, pelantikan itu dibuat untuk memacu transformasi YTM sebagai yayasan yang lebih berteraskan impak sosial dengan menerajui inisiatif tanggungjawab korporat syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM dan ahli Lembaga Pemegang Amanah YTM, Imri Mokhtar berkata, YTM kini bersedia untuk melangkah ke arah peranan yang jauh lebih besar melangkaui pemberi biasiswa.

Kata beliau, melangkah ke hadapan, YTM akan menggabungkan pendidikan, pelancongan, budaya dan warisan serta aktiviti dan sumber tanggungjawab korporat dalam Kumpulan TM.

“Ini juga untuk menyokong fokus TM Baharu pada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perniagaan kami, serta memperkukuh lagi aspirasi Kumpulan TM dalam memacu Digital Malaysia.

“Izlyn membawa kepakarannya dalam bidang komunikasi, penjenamaan, pengurusan pihak berkepentingan dan tanggungjawab korporat untuk memimpin peralihan strategik di YTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Izlyn akan menggantikan pengarah terdahulu, Abd. Hamid Hashim yang telah berkhidmat selama tujuh tahun bersama YTM.

Selain jawatannya dalam Komunikasi Strategik, Izlyn yang mula berkhidmat bersama TM sejak 1998 telah memegang pelbagai jawatan seperti pembantu khas kepada Pengerusi Kumpulan TM, Naib Presiden Komunikasi Korporat Kumpulan dan Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan.

Izlyn juga telah berkhidmat sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa Pengurusan TM dan Pasukan Kepimpinan Kumpulan selain menganggotai beberapa jawatanluasa pengurusan TM yang lain.

“Beliau juga merupakan Pengarah Telekom Sales and Services Sdn. Bhd. (TSSSB) dan menganggotai Lembaga Pengarah Amanah untuk YTM,” jelas TM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×