IMTN EXSIM berjumlah RM323 juta habis dilanggan - Utusan Malaysia

IMTN EXSIM berjumlah RM323 juta habis dilanggan

ANTARA projek pembangunan hartanah yang dilaksanakan oleh EXSIM. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia (UOB) berjaya menentukan harga dan menempatkan terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi tempoh empat tahun berjumlah RM323 juta oleh Kumpulan EXSIM (EXSIM) pada kadar keuntungan tetap 4.5 peratus setahun.

Menurut UOB, terbitan itu merupakan tranche kedua Program Sukuk Musharakah berjumlah RM2 bilion EXSIM yang membiayai pendapatan masa depan dua pembangunan kediaman mampan di Lembah Klang.

UOB jelasnya, merupakan Pengatur Utama dan Pengurus Utama terbitan IMTN terbabit yang menerima penarafan AA3/Stabil oleh RAM Rating Services Bhd.

“Walaupun berhadapan persekitaran perniagaan yang mencabar akibat pandemik Covid-10, penawaran IMTN menyaksikan permintaan tinggi dan telah dilanggan sepenuhnya oleh pelabur institusi berkualiti termasuk syarikat insurans, pengurusan aset, bank dan bank swasta,” katanya dalam kenyataan.

UOB berkata, Program Sukuk Musyarakat itu yang ditubuhkan pada 2019, telah distruktur oleh NewParadigm Markets Capital Sdn. Bhd. melalui syarikat tujuan khas EXSIM Capital Resources Berhad.

Di bawah program itu jelasnya, terbitan IMTN tersebut juga disokong oleh Kertas Komersial Islam berjumlah RM80 juta, ditaja jamin sepenuhnya oleh UOB bagi memenuhi keperluan kecairan IMTN.

NG NG WEI WEI

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Ng Ng We Wei berkata, kejayaan dalam penentuan harga dan penempatan IMTN adalah bukti pengetahuan mendalam syarikat mengenai sektor hartanah negara.

Katanya, ia juga menunjukkan keupayaan UOB untuk mengatur perjanjian yang membiayai pendapatan masa depan aset hartanah kediaman yang hijau dan mampan.

“Di UOB Malaysia, kami komited membantu pelanggan kami memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam memenuhi permintaan pelabur mereka yang inginkan syarikat yang mempunyai model dan amalan perniagaan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe berkata, kejayaan itu akan memberi syarikat kecairan untuk mencapai tahap pertumbuhan yang seterusnya bagi projek pembangunan EXSIM di masa depan.

“Dengan sokongan daripada UOB Malaysia, transaksi ini, yang merupakan sebahagian daripada Program Sukuk yang inovatif, akan membantu EXSIM mengekalkan perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja bagi projek pembangunan hartanah yang baharu dan sedia ada kami. Ia juga akan membolehkan kami memberi lebih banyak nilai kepada pihak berkepentingan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×