PETALING JAYA: Hasil Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi separuh tahun pertama 2021 bertambah dengan kukuh sebanyak 8.2 peratus kepada RM5.57 bilion daripada RM5.15 bilion tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut TM, pencapaian itu dipacu oleh pertumbuhan merentasi semua segmen perniagaannya iaitu unifi, TM ONE dan TM WHOLESALE.
Katanya, susulan hasil yang lebih tinggi, Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) Dilaporkan Kumpulan meningkat 29.9 peratus kepada RM977.3 juta daripada RM752.4 juta tahun lalu.
“Berikutan itu, Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) Kumpulan meningkat 27.3 peratus kepada RM544 juta daripada RM427.2 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
TM berkata, syarikat akan terus melabur dalam pertumbuhan masa hadapan dengan memodenkan rangkaian dan platform teknologinya bagi membawakan penyelesaian-penyelesaian masa kini dan masa hadapan terbaik kepada para pelanggan dari pelbagai segmen.
TM turut menyatakan bahawa perbelanjaan modal (Capex) pada setengah tahun berjumlah RM597 juta atau 10.7 peratus daripada hasilnya.
“Daripada jumlah yang dilaburkan, 65 peratus untuk akses rangkaian, 16 peratus untuk rangkaian teras dan baki 19 peratus adalah untuk sistem-sistem sokongan,” katanya.
Kumpulan turut mengumumkan dividen interim maksimum sebanyak 7 sen sesaham berjumlah RM264.2 juta.
Mengulas prestasi tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, TM berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran tahun ini selari dengan panduan pasaran.
Beliau berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kekal mencabar dengan sekatan pergerakan berterusan berikutan Covid-19.
“Biarpun dengan cabaran-cabaran yang datang, peranan kami terus kekal. Kami akan terus berkhidmat kepada negara dengan memenuhi permintaan terhadap internet dan data, dari segi runcit dan borong,” katanya. – UTUSAN










