Hartalega catat keuntungan selepas cukai RM2.26 bilion - Utusan Malaysia

Hartalega catat keuntungan selepas cukai RM2.26 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.26 bilion untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2021, lebih 10 kali ganda tinggi berbanding RM219.72 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu turut mencatat hasil yang lebih tinggi pada RM3.90 bilion dan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM2.88 bilion.

Menurut syarikat itu, prestasi lebih baik pada suku tersebut disokong oleh hasil jualan lebih tinggi yang dicapai berasaskan kenaikan harga purata dan peningkatan jumlah jualan, walaupun angkanya diimbangi sebahagiannya oleh kenaikan harga bahan mentah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, melihat ke hadapan, walaupun harga jualan purata bagi sarung tangan nitril telah turun daripada tahap tertinggi, permintaan global dijangka terus meningkat disebabkan gelombang baharu varian Covid-19 yang melanda banyak negara.

Kata beliau, dalam jangka panjang, peningkatan struktur permintaan dalam sektor sarung tangan akan terus memacu pertumbuhan berasaskan pertambahan penggunaan sarung tangan oleh negara-negara sedang membangun dengan penggunaan sarung tangan per kapita yang rendah dan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kesihatan.

“Untuk memenuhi pertumbuhan permintaan ini, kumpulan akan meneruskan rancangan pengembangan operasi kami menerusi Kompleks Pengilangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) dan NGC 1.5.

“Setakat ini, lapan daripada 10 barisan pengeluaran Kilang 7 NGC telah ditauliahkan. Apabila siap sepenuhnya, Kilang 7 mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 2.7 bilion keping setahun,” katanya dalam kenyataan dekat sini.

Menurut Mun Leong, kerja pembinaan untuk NGC 1.5 juga sedang giat dilaksanakan dengan barisan pengeluaran pertama dijadualkan siap menjelang Disember tahun ini.

Apabila siap sepenuhnya, jelas beliau, NGC 1.5 yang terdiri daripada empat kemudahan pengilangan akan menyumbang 19 bilion keping sarung tangan kepada kapasiti terpasang tahunan Hartalega.

Ia menjadikan kapasiti terpasang tahunan Hartalega dijangka meningkat kepada 63 bilion keping dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×