Fokus pulihkan ekonomi, kes Covid - Utusan Malaysia

Fokus pulihkan ekonomi, kes Covid

Petugas kesihatan bersiap sedia menjalankan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Klinik Ajwa Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, berlatar belakangkan mural lukisan penghargaan buat barisan hadapan memerangi pandemik berkenaan. -GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekarang bukan masa untuk tukar kerajaan

PETALING JAYA: Pihak kerajaan dan parti-parti politik diminta untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani pandemik Covid-19 yang kian menular dan memberi impak teruk kepada rakyat.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong berkata, ini bukan waktu yang sesuai untuk menghadapi kemelut politik berterusan berikutan banyak perusahaan sedang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bukan masanya untuk menukar kerajaan kerana kita tidak mampu untuk mengadakan pilihan raya umum yang sudah pastinya akan lebih menyukarkan keadaan pandemik Covid-19 ini.

“Selain itu, sebarang perubahan kepada kerajaan pasti akan mengganggu pelbagai proses terutamanya proses vaksinasi yang sangat kritikal dan penting sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Chee Seong menggesa pemimpin parti politik untuk fokus kepada memulihkan situasi ekonomi negara dengan langkah-langkah yang tepat buat rakyat dan perniagaan-perniagaan.

Katanya, buat masa ini kerajaan hanya perlu fokus kepada dua perkara iaitu memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar serta kemudahan penjagaan kesihatan mencukupi.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, pihaknya kesal terhadap kemelut politik yang berlaku sekarang dan menasihatkan ahli-ahli politik untuk memberi tumpuan bagi menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu rakyat ketika ini.

“Perusahaan-perusahaan kini masih berada di dalam keadaan yang amat teruk kerana masih di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peniaga-peniaga terutamanya dalam industri servis sangat tertekan kerana modal untuk menjalankan perniagaan telah habis digunakan untuk membayar sewa dan gaji pekerja yang tidak produktif,” katanya.

Ujarnya, mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal berisiko menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan PKP berterusan.

Abdul Halim berkata, usaha-usaha pemulihan kini hanya bergantung kepada kadar vaksinasi yang sedang dijalankan dan dijangka akan berakhir kira-kira dua bulan lagi atau sehingga hujung tahun.

“Kadar vaksinasi perlu dipercepatkan sehingga mencapai 80 peratus pada Ogos supaya negara boleh mencapai imuniti kelompok secepat mungkin untuk peniaga-peniaga mendapat aliran tunai yang diperlukan.

“Kerajaan dan pembangkang perlu berhenti berebut kuasa dan melakukan perkara yang mendatangkan kemarahan rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini