PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi syarikat-syarikat perniagaan teras perladangannya, FGV Plantations Malaysia Sdn. Bhd. (FGVPM) dan FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI), memperuntukkan RM3.1 juta pada tahun ini bagi pembelian lapan bas sekolah baharu untuk kegunaan anak-anak pekerja tempatan.
Pembelian itu menjadikan jumlah keseluruhan bas sekolah yang dimiliki FGV sebanyak 89 buah.
Menurut FGV, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan oleh FGVPM bagi pembelian lima bas baharu di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dan RM1.6 juta untuk pembelian tiga bas baharu oleh FGVPI di Sarawak dan Sabah.
Pegawai Bertanggungjawab (Officer-In-Charge) dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, kemudahan bas sekolah merupakan satu daripada tanggungjawab sosial syarikat bagi memastikan keselamatan perjalanan anak-anak pekerja, di samping membantu meringankan kos sara hidup.
Beliau berkata, FGV sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kebajikan pekerja dan sejak 1992, penyediaan bas sekolah merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa serta menghormati hak-hak pekerja berkeluarga.
“FGV juga amat mengutamakan soal keselamatan dan ingin mengurangkan pendedahan anak-anak kepada pelbagai risiko perjalanan.
“Dengan penyediaan bas-bas sekolah yang baharu, risiko seperti kemalangan dan kejadian tidak diingini dapat dikurangkan kerana kenderaan berfungsi secara optimum, dan perjalanan lebih terkawal dengan jadual yang tetap.
“Ini membolehkan pekerja kami memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan di pejabat atau di ladang, tanpa berasa bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka,” kata beliau dalam kenyataan.
Menurut Azman, kos pengangkutan bulanan anak-anak pekerja ke sekolah adalah antara RM30 hingga RM60 seorang di kawasan luar bandar, bergantung kepada jarak sekolah dengan kediaman mereka.
Bas-bas sekolah baharu FGV memiliki pelbagai kapasiti muatan penumpang, dari 10 hingga 44 orang. Kesemua bas-bas sekolah FGV menepati spesifikasi serta ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). – UTUSAN










