PETALING JAYA: Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebayak 16.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021, menunjukkan trend pemulihan ekonomi yang berterusan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa halangan berikutan peningkatan semula kes Covid-19 menjelang akhir suku kedua, indikator ekonomi utama telah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan.
Indikator itu termasuklah:
* Peningkatan 1.4 peratus Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Jun 2021 yang melangkaui jangkaan.
* Peningkatan sebanyak 20.5 peratus pendapatan sektor perkhidmatan kepada RM404.5 bilion. Pendapatan e-dagang pula meningkat 23.3 peratus kepada RM267.6 bilion.
* Momentum pemulihan berterusan bagi eksport pada Jun dengan peningkatan sebanyak 27.2 peratus kepada RM105.5 bilion. Bagi separuh pertama 2021, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 26 peratus melepasi RM1 trilion.
* Pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan, dengan sejumlah RM8.2 bilion FDI bersih dicatatkan.

Tengku Zafrul berkata, dari sudut pasaran kewangan, KDNK bagi tempoh dilaporkan mencatatkan tahap nisbah liputan kecairan yang sihat, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kekal tinggi dan pembiayaan bersih ke sektor swasta mencatat pertumbuhan tahunan 4.4 peratus.
Dari sudut pasaran modal pula katanya, FBMKLCI meningkat sebanyak 2.1 peratus dan pelaburan asing kekal yakin terhadap pasaran bon ringgit dengan sejumlah RM24.5 bilion aliran masuk bersih direkodkan.
“Melangkah kehadapan, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi setiap negeri,” katanya dalam kenyataan mengulas laporan KDNK suku kedua 2021, semalam.
Tengku Zafrul menegaskan, dalam memperkukuh prospek pertumbuhan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM530 bilion, dilengkapi oleh Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion.
Beliau berkata, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luar daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.
“Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa berwaspada dengan pertumbuhan negara yang masih berdepan dengan risiko dan ketidaktentuan ekonomi domestik dan global. Ini termasuk penularan varian baharu Covid-19 yang boleh mengakibatkan pelanjutan sekatan pergerakan sedia ada dan menangguhkan aktiviti ekonomi untuk kembali normal, serta gangguan bekalan vaksin Covid-19 yang akan menjejaskan usaha untuk mencapai imuniti kelompok.
“Kerajaan menjangkakan prospek yang lebih mencabar bagi suku ketiga 2021 berikutan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di sebahagian besar kawasan di Lembah Klang pada Julai, serta Fasa 1 PPN yang berpanjangan di beberapa negeri yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara.
“Keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya. – UTUSAN










