PETALING JAYA: Teraju Bumiputera Corporation (Teraju) menjalinkan kerjasama strategik dengan SME Bank Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM200 juta kepada usahawan bumiputera.
Kemudahan dana itu yang berada di bawah program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera (BSC) adalah untuk meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang ekonomi yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman berkata, objektif utama kerjasama itu bagi memastikan usahawan bumiputera di sepanjang rantaian bekalan merangkumi sektor borong dan runcit, penjagaan kesihatan serta logistik diperkukuh.
Ujarnya, kesemua sektor yang diberi tumpuan dalam kerjasama tersebut merupakan sektor ‘ekonomi pandemik’ termasuk bidang logistik, sektor borong dan runcit serta penjagaan kesihatan yang sangat berpotensi dan relevan untuk diceburi bumiputera.
“Industri logistik sedia ada menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan 40,000 syarikat, namun hanya 5,000 syarikat atau 12.5 peratus adalah milik bumiputera.
“Bidang-bidang ini penting dalam keadaan semasa dan amat rugi jika bidang yang berdaya saing ini tidak dapat disertai bumiputera di atas sebab kekangan aliran tunai dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar memeterai kerjasama strategik BSC secara maya, semalam.
Pada majlis itu, SME Bank diwakili oleh Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail manakala Bank Muamalat oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.
Usahasama Teraju bersama SME Bank melalui program BSC dalam Sektor Borong dan Runcit adalah kesinambungan kepada program dana TERAS sejak 2012 yang bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dalam keseluruhan rantaian bekalan bagi sektor borong dan runcit termasuk logistik.
Kolaborasi Teraju bersama Bank Muamalat pula merupakan program BSC dalam sektor penjagaan kesihatan merangkumi produk dan perkhidmatan.
Fokus utama kerjasama dengan Bank Muamalat itu pula adalah untuk mencari penyelesaian menangani isu-isu utama dan cabaran yang dihadapi PKS bumiputera di sepanjang rantaian bekalan ini terutama bagi perolehan bekalan pada harga berpatutan. – UTUSAN










