PETALING JAYA: Coway Malaysia telah megambil inisiatif untuk mempercepatkan pemvaksinan kakitangannya bagi menjamin kesihatan dan keselamatan mereka.
Menurut Coway Malaysia, syarikat telah mengambil bahagian dalam Program Imunisasi Industi Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk melindungi kesejahteraan lebih 22,000 kakitangannya di seluruh negara.
Jelasnya, di bawah PIKAS, Coway Malaysia berhasrat untuk memvaksin hampir 10,000 ‘ahli keluarga’ Coway yang belum mendapat vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Mereka termasuk Coway Ladies (Codys), Juruteknik Servis (Service Technician), Juruteknik Coway, Perancang Kesihatan (Health Planners), Juruteknik Homecare dan kakitangan di ibu pejabat. Untuk mempermudahkan usaha pemvaksinan ini, Coway telah memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta untuk inisiatif perubatan khas oleh syarikat ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi berkata, syarikat mengutamakan keselamatan dan perlindungan ‘Cowayians’ kerana mereka merupakan tulang belakang organisasi berkenaan.
Justeru katanya, syarikat bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan mereka menerima vaksin sewajarnya.
“Sebagai sebuah organisasi yang mempercayai dalam kepentingan persekitaran lebih sihat, demi negara yang sejahtera, kami bangga menjadi sebahagian daripada kerjasama awam-swasta ini demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, dan menyokong matlamat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dengan secepat mungkin,” tambahnya.
Coway Malaysia memberitahu, pihaknya sudah memulakan usaha PIKAS di Lembah Klang, dengan kira-kira 2,400 kakitangan Coway telah menerima vaksin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 hingga 25 Julai lalu.
“Selain itu, terdapat 15 kakitangan Coway yang juga bertugas sebagai sukarelawan di MITEC untuk membantu mempermudahkan proses pemvaksinan di pusat tersebut,” katanya. – UTUSAN










