PETALING JAYA: CIMB Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd. melancarkan Akaun Simpanan-i CIMB OctoSavers yang merupakan akaun simpanan Islam digital pertama bank itu, bersama dengan CIMB Octo Debit MasterCard baharu.
Akaun-i OctoSavers disediakan khusus untuk kemudahan pelanggan baharu berikutan pembukaan akaun dan proses penyertaan dibuat sepenuhnya dalam talian manakala kad debit akan dihantar kepada pelanggan sekali gus memastikan pengalaman tanpa cawangan yang mudah.
Prosedur pembukaan akaun dalam talian sepenuhnya dapat dilakukan dengan memanfaatkan garis panduan Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (e-KYC) Bank Negara Malaysia (BNM).
Penyertaan digital yang menyeluruh dan baharu membantu untuk terus melindungi kesihatan pelanggan semasa pandemik kerana mereka tidak perlu mengunjungi cawangan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbankan Pengguna, CIMB Group, Samir Gupta berkata, OctoSavers Account-i dan Octo Debit Mastercard merupakan tonggak penting dalam perjalanan perbankan digital CIMB dan tepat pada masanya dalam persekitaran semasa Covid-19.
“Wabak ini telah mengetengahkan kepentingan inisiatif pendigitalan dan mempercepat usaha kami dalam memberikan pelanggan kami perkhidmatan yang optimum, lancar dan selamat.
“Kami berharap dapat menawarkan perkhidmatan perbankan digital yang lebih inovatif selain penyelesaian patuh syariah yang dapat memenuhi keperluan semasa secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan.
Akaun-i CIMB OctoSavers adalah akaun simpanan Islam sepenuhnya pertama CIMB yang menawarkan ganjaran segera bersama dengan faedah lain.
Pemegang akaun boleh mendapatkan OctoPoints melalui OctoChallenge dan OctoMissions bagi menebus ganjaran segera seperti baucar dari kedai dalam talian yang popular dan e-dompet seperti Shopee, Zalora, Grab, dan Lazada dalam aplikasi CIMB Clicks.
Selain itu, pemegang akaun juga akan menikmati pengecualian yuran tahunan bagi Octo Debit Mastercard.
Pelanggan baharu warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas boleh membuat permohonan untuk Akaun-i OctoSavers melalui aplikasi CIMB Apply, yang boleh dimuat turun daripada Google Play dan Apple App Store.
Sementara itu, pelanggan CIMB sedia ada yang mempunyai akaun simpanan atau semasa dengan alamat di Malaysia boleh memohon untuk Akaun-i OctoSavers melalui laman web CIMB Clicks di www.cimbclicks.com.my. – UTUSAN










