PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini, Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus meletakkan wira barisan hadapan negara dekat di hati dan menghulurkan bantuan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan ahli keluarga mereka.
Celcom menyumbangkan bantuan makanan dan digital bernilai RM100,000 kepada pasukan pertahanan negara, untuk meringankan beban mereka.
Menurut syarikat itu, bantuan makanan akan diagihkan ke kem seperti Mentakab, Pahang; Gong Badak, Terengganu; Sepanggar, Sabah; Markas Medan Barat, Sg. Besi dan Universiti Pertahanan Malaysia di Kuala Lumpur.
Beberapa anak anggota juga turut menerima sumbangan komputer riba dan tablet melalui program MyBaikHati, untuk membantu pembelajaran mereka dari rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, pasukan pertahanan merupakan tonggak keselamatan negara dan memainkan peranan utama dalam menjaga keselamatan rakyat Malaysia pada tempoh mencabar ini.
“Ketika wira barisan hadapan negara menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan keselamatan kita, Celcom menghulurkan tangan untuk memenuhi keperluan digital dan kesalinghubungan kepada mereka dan ahli keluarga.
“Kami menyanjung dan menghargai warga Malaysia dalam pasukan pertahanan tersebut atas pengorbanan mereka yang begitu besar dalam melindungi negara dan menjaga keselamatan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Bantuan tersebut telah diserahkan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) pada 17 Ogos lalu, di mana beliau turut melancarkan pelan pascabayar khusus untuk pasukan pertahanan, iaitu Pahlawan MEGA™.
Idham berkata, Celcom juga akan menyumbang lapan set alat penumpu oksigen bernilai RM40,000 kepada Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada September ini, untuk membantu hospital tersebut menguruskan pesakit Covid-19, selain tangki oksigen kepada Hospital Selayang. – UTUSAN










