Bursa Malaysia susut 12.83 mata pada tengah hari - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia susut 12.83 mata pada tengah hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI menamatkan dagangan pagi hari ini dengan penyusutan mendadak seiring dengan pergolakan politik yang berlangsung sepanjang malam semalam dan pagi ini.

Pada rehat tengah hari, FBM KLCI menyusut 12.83 mata kepada 1,487.43 mata, paras terendahnya setakat hari ini.

Indeks itu dibuka pada 1,497.28 mata pada pagi dengan 1.96 bilion jumlah dagangan bernilai RM1.12 bilion.

Kaunter rugi jauh mengatasi kaunter untung masing-masing pada 728 dan 192 manakala 364 kaunter tidak berubah dan 908 kaunter tidak didagangkan.

Malam semalam, media melaporkan beberapa kenderaan pemimpin politik dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO mengisytiharkan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Sebentar tadi, Muhyiddin mengumumkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa.

Krisis politik berterusan selepas kekecohan dalam Dewan Rakyat minggu lalu apabila kerajaan mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat bermula 21 Julai.

Persoalan berkenaan pembatalan itu yang sepatutnya dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga tidak berlaku apabila persidangan Parlimen pada Isnin lalu ditangguhkan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan.

Seramai 107 ahli Parlimen pembangkang membantah penangguhan itu dan berarak dari Dataran Merdeka ke Parlimen Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×