PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup di paras tertinggi dalam tempoh dua bulan dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,585.74 mata petang ini.
Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, peningkatan itu mengatasi kebanyakan rakan Asia seperti Hong Kong, China, Korea Selatan dan Indonesia yang mencatatkan kerugian.
“Mungkin, jangkaan pengumuman barisan menteri Kabinet terus mengembalikan keyakinan di kalangan pelabur terhadap kepemimpinan Malaysia.
“Pada masa yang sama, harapan terhadap Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk memberi petanda berkaitan pengurangan pembelian aset semasa simposium Jackson Hole pada Jumaat semakin tipis kerana pandangan yang mengatakan Varian Delta akan terus menular,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, di bawah indeks FBM KLCI, Sime Darby mendahului dengan lonjakan sebanyak 5.8 peratus sementara Indeks Perladangan Bursa Malaysia antara yang teruntung di kalangan indeks sektoral setelah ditutup 1.6 peratus lebih tinggi.
Adam menjelaskan, ringgit juga mengukuh berbanding dolar AS kerana faktor sama yang mempengaruhi keyakinan bursa tempatan terhadap pentadbiran Malaysia selain kebarangkalian Fed memberi petunjuk berkaitan garis masa untuk mengurangkan pembelian bon. – UTUSAN










