PETALING JAYA: Boustead Plantatios Berhad (BPB) mencatatkan prestasi lebih kukuh pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, dengan untung selepas cukai (PAT) lebih tinggi berjumlah RM49 juta, peningkatan ketara berbanding RM4 juta tempoh sama tahun lalu.
Untung sebelum cukai (PBT) syarikat pula meningkat kepada RM64 juta berasaskan hasil lebih tinggi berjumlah RM243 juta, manakala untung daripada operasi melonjak kepada RM76 juta.
Menurut BPB, untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu, Kumpulan mencatatkan PAT lebih tinggi berjumlah RM60 juta berbanding defisit RM8 juta tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, PBT separuh pertama tahun ini juga meningkat kepada RM83 juta manakala hasil melonjak kepada RM415 juta, dengan untung operasi lebih tinggi berjumlah RM109 juta.
“Prestasi Kumpulan bagi suku kedua juga lebih memberangsangkan berbanding keputusan suku pertama sebelumnya, dengan PAT RM11 juta dan PBT RM19 juta, serta hasil berjumlah RM172 juta,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Zainal Abidin Shariff berkata, Kumpulan sukacita untuk mencatatkan prestasi kukuh dan mengekalkan pertumbuhan posifi dalam persekitaran ekonomi yang kurang menggalakkan.
Beliau berkata, pencapaian itu memanfaatkan program penambahbaikan hasil yang dijalankan sebagai sebahagian daripada Strategi Mencipta Semula Boustead.
“Harga minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat pada suku kedua 2021 berikutan tahap pembelian yang kembali pulih, terutamanya dari India, China dan Eropah,” kata Zainal Abidin.
Harga produk sawit lebih tinggi mendorong prestasi lebih baik bagi Kumpulan.
Harga jualan purata MSM bagi suku kedua naik sebanyak 70 peratus kepada RM4,014 setan metrik (MT) daripada RM2,367 MT pada suku sama tahun lalu.
Harga isirung sawit purata juga meningkat sebanyak 96 peratus kepada RM2,647 MT. Pengeluaran tandan buah segar (FFB) bagi suku tahun yang dilaporkan mencecah 231,702 MT manakala hasil FFB berada pada paras 3.4 MT sehektar (ha).
Kadar pengekstrakan minyak purata meningkat kepada 21.2 peratus manakala kadar pengekstrakan isirung (OER) berada pada paras 4.1 peratus, jelas BPB.
Dalam jangka pertengahan, Zainal Abidin berkata, prospek masih tidak jelas dihimpit kesan penawaran dalam sektor minyak sawit, khususnya di Malaysia.
Beliau berkata, Kumpulan akan terus berusaha melaksanakan inisiatif meningkatkan produktiviti sejajar dengan langkah mengoptimumkan kos, dan juga memanfaatkan peluang mengambil pekerja tempatan.
Berasaskan prestasi Kumpulan dan komitmen untuk meningkatkan nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat 2.3 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Dividen akan dibayar pada 30 September ini kepada pemegang saham yang tersenarai dalam daftar pada 10 September 2021. – UTUSAN










