Bayaran dividen CBP tertinggi dalam sejarah - Utusan Malaysia

Bayaran dividen CBP tertinggi dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembayaran dividen Co-opbank Pertama (CBP) berjumlah lebih RM58 juta bagi tahun kewangan 2020 merupakan yang tertinggi dalam sejarah penubuhan bank itu sejak 1950.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM85.7 juta, peningkatan 15.9 peratus daripada RM73.9 juta dicatatkan tahun sebelumnya.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, jumlah dividen yang dibayar adalah sebanyak RM58.3 juta, peningkatan sebanyak 28.7 peratus daripada 2019 sebanyak RM45.3 juta.

Beliau berkata, peningkatan jumlah bayaran itu akan memberi manfaat kepada 92,459 anggota CBP yang layak.

“Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900 juta setakat 31 Disember 2020,” katanya dalam kenyataan.

Kamari Zaman berkata, kadar dividen bersih untuk 2020 adalah sebanyak 6.7 peratus bagi syer keutamaan (iRCPS) dan 6.0 peratus bagi syer biara.

Jelasnya, pembayaran dividen akan dikreditkan terus ke dalam akayn simpanan anggota CBP dan pengeluaran boleh dibuat di mana-mana cawangan bank itu, secara dalam talian melalui laman sesawang CBP atau aplikasi mobil MyCoopbank bermula 27 Ogos ini.

Menurut CBP, kelewatan pengumuman dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 adalah disebabkan penukaran juruaudit dilantik memerlukan proses lantikan semula dan mendapat kelulusan daripada pengawal selia.

Jelasnya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan permohonan pembayaran dividen bagi syer biasa dan iRCPS bagi tahun kewangan 2020 pada 23 Ogos lalu.

CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950. Pada September 2014, CBP telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank.

CBP mempunyai 28 buah cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Ia menawarkan pelbagai produk pembiayaan individu, koperasi serta korporat, Ar-Rahnu, deposit,
syer keanggotaan, takaful dan wasiat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN