KUALA LUMPUR: AEON CO. (M) Bhd. (AEON) merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi berjumlah RM69.8 juta bagi tempoh kewangan separuh pertama 2021, peningkatan 166.5 peratus daripada RM26.2 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan syarikat bagi tempoh dilaporkan adalah berjumlah RM1.89 bilion, di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan sektor bukan keperluan asas dan operasi sewaan.
Menurut AEON, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, syarikat mengalami penutupan membabitkan operasi sewaan dan perkhidmatan bukan keperluan asas selama 57 hari, berbanding 46 hari sebelum ini.
“Pihak pengurusan secara berterusan meneroka langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan kos sebagai tindak balas kepada keadaan pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEONN, Shafie Shamsuddin berkata, tempoh enam bulan pertama tahun ini lebih mencabar berbanding tahun lalu.
“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana dapat bertindak balas terhadap pasaran dengan memanfaatkan ekosistem dan ketangkasan pekerja kami.
“Salah satu contohnya ialah kempen ‘Ramadan-Raya Bersama AEON – Raikan Dengan Kesyukuran.’ Kami memberikan pendekatan baharu dan inovatif, pendekatan yang diperibadikan,
bekerjasama dengan peneraju utama dan memanfaatkan platform luar dan dalam talian kami,” katanya.
Shafie berkata, keputusan suku kedua ini menunjukkan kesinambungan strategi transformasi syarikat.
“AEON menyedari sentimen pengguna yang berhati-hati terhadap kes-kes baharu Covid-19. Syarikat optimis dalam perjalanan menuju pemulihan. Ia adalah sangat mustahak untuk keadaan kembali normal secepat mungkin dengan mencapai imuniti kelompok,” kata beliau.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, AEON akan mengadakan kempen jualan bertema `Bersyukur, Berjuang dan Bangkit’ bermula 27 Ogos hingga 16 September ini.
“Syarikat juga sedang meningkatkan agenda kelestariannya yang memfokuskan kepada perusahawan mikro, kecil dan sederhana dengan memberikan mereka panduan dan peluang untuk meningkat,” katanya. – UTUSAN










