- Utusan Malaysia
PETRONAS akan terus memajukan strategi pertumbuhannya dan meningkatkan usaha kelesta­rian untuk mendapatkan peluang baharu dalam peralihan tenaga. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan pendapatan sebanyak RM109.6 bilion, meningkat 17 peratus pada separuh pertama 2021 daripada RM93.6 bilion tempoh sama tahun lalu.

Menurut Kumpulan, pening­katan tersebut disebabkan oleh harga direalisasikan untuk produk utama dan jumlah jualan yang lebih tinggi terutamanya untuk gas asli cecair (LNG) dan gas jualan.

Bagi suku dikaji, Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) Petronas berjumlah RM46.1 bilion, melonjak 57 peratus daripada RM29.4 bilion, disumbang oleh peningkatan pendapatan berikutan perbelanjaan mengurus yang lebih rendah.

Bagi enam bulan pertama tahun ini, syarikat minyak milik negara itu mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih 100 peratus kepada RM18.9 bilion berbanding kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM16.5 bilion, tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkat PAT itu disokong oleh EBITDA yang lebih tinggi dan kerugian penurunan nilai yang rendah berikutan kenaikan harga.

Bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun lalu, Petronas mencatatkan pendapatan sebanyak RM57.1 bilion melonjak 68 peratus, daripada RM34 bilion tempoh sama tahun lalu.

EBITDA Petronas bagi suku dilaporkan berjumlah RM23.2 bilion, meningkat sebanyak RM14.1 bilion daripada RM9.1 bilion pada suku kedua 2020.

Keuntungan selepas cukai pula sebanyak RM9.6 bilion berbanding LAT sebanyak RM21 bilion tempoh sama tahun lalu.

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi Kumpulan yang mantap adalah disebabkan tindak balas Kumpulan dalam meneruskan kecemerlangan operasi semasa keadaan pasaran yang menggalakkan pada separuh pertama 2021.

“Ia didorong oleh perkhidmatan yang berdedikasi oleh petugas barisan hadapan dan semua pekerja di Petronas.

“Oleh itu, Pe­tronas dapat me­manfaatkan rantai nilai bersepadunya dengan lebih fokus kepada keunggulan komersial serta mengekalkan tahap kecairan yang terbukti menguntungkan,” katanya dalam kenyataan sempena Laporan Kewangan Separuh Pertama 2021 secara maya, semalam.

Tengku Muhammad Taufik berkata, dalam keadaan yang tidak menentu, Kumpulan tetap teguh dalam memberikan penyelesaian yang menjimatkan dengan jejak karbon yang lebih rendah dengan memajukan teknologi dan agenda digitalisasi.

Beliau memberitahu, Petronas akan terus memajukan strategi pertumbuhannya dan meningkatkan usaha kelesta­rian untuk mendapatkan peluang baharu dalam peralihan tenaga.

Bagi prospek Petronas untuk bulan-bulan seterusnya tahun ini, beliau memaklumkan Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi kewangan tahun ini dipengaruhi oleh beberapa faktor.

“Industri minyak dan gas menyaksikan pemulihan harga dan permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi di peringkat global.

“Namun begitu, jangkaan kenaikan bekalan minyak dan sekatan perjalanan yang dicetuskan oleh kemunculan va­rian Covid-19 yang baharu boleh mempengaruhi pemulihan harga dan permintaan.

“Petronas akan terus fokus untuk memaksimumkan nilai dengan memanfaatkan rantai nilai bersepadu Kumpulan untuk merebut peluang baharu dan mengurangkan kesan ketidaktentuan pasaran,” kata Tengku Muhammad Taufik.

Setakat 30 Jun 2021, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) Petronas meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM32.7 bilion daripada RM26.3 bilion sebelumnya. Jumlah aset Petronas turut mengukuh kepada RM609.1 bilion daripada RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020, didorong pelaburan dana dan tunai lebih tinggi.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM331.1 bilion daripada RM330.6 bilion tahun lalu.

Dalam tempoh sama, perbelanjaan modal (capex) Petronas berjumlah RM12.7 bilion, keba­nyakan digunakan untuk projek huluan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN