Western Gold disenarai di Bursa Australia - Utusan Malaysia

Western Gold disenarai di Bursa Australia

AKTIVITI mencari dan melombang emas di wilayah Wiluna West, Australia Barat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Western Gold Resources Limited (Western Gold), pemilik dan pengendali Projek Emas Wiluna West di Western Australia, berjaya disenaraikan di Australian Securities Exchange (ASX) Jumaat lalu, pada harga AS$0.20 (RM0.62) sesaham.

TSLAW Group, sebuah kumpulan syarikat Malaysia berpangkalan di Kuala Lumpur, terlibat dalam pelbagai industri termasuk pengeluaran keluli, perlombongan, restoran dan pembangunan serta pengurusan hartanah.

Kumpulan itu ialah pemegang saham utama Western Gold. Western Gold mengawal Projek Emas Wiluna West secara langsung menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wiluna
West Gold Pty Ltd.

Pengerusi Western Gold, Gary Lyons berkata, kejayaan penyenaraian di ASX menunjukkan keyakinan pelabur dan pasaran.

Beliau berkata, dana penyenaraian akan membantu syarikat memanfaatkan potensi sebenar sumber emas yang terletak di Projek Emas Wiluna West.

Katanya, syarikat bercadang menggunakan dana tersebut untuk membangunkan kawasan simpinan emas yang diketahui secara agresif sambil menggiatkan cari gali di kawasan baharu di mana terdapat kawasan sasaran yang masih belum diterokai.

“Aktiviti tersebut akan disusuli oleh proses pengeluaran emas dan juga meningkatkan sumber mineral dan keyakinan terhadap penganggaran mineral yang dilakukan pada awal tahun ini.

“Kami meramalkan aktiviti cari gali dan pengeluaran akan dapat dikekalkan kerana emas sentiasa mempunyai daya tarikan sebagai barangan kemas, penyimpan nilai harta dan lindung nilai terhadap inflasi.

“Sebagai logam perindustrian, emas bersifat serba guna dan digunakan secara meluas dalam pengeluaran peralatan elektronik, peranti perubatan kejituan tinggi dan pergigian,” katanya dalam kenyataan.

Lyons berkata, syarikat meramalkan permintaan global bagi emas akan disokong oleh pemerolehan stok oleh bank-bank pusat dan syarikat percaya dengan pelaksanaan pantas program vaksinasi di seluruh dunia, para pengguna akhir akan memberikan sokongan kukuh terutama di pasaran tradisional seperti China dan India.

“Kami berharap penyenaraian kami akan menarik lebih ramai pelabur yang boleh melihat nilai dalam aktiviti penerokaan cari gali dan pengeluaran yang dipacu oleh kedinamikan logam berharga dan peranannya dalam ekonomi global,” tambahnya.

Projek Emas Wiluna West terletak 750 kilometer (km) di timur laut Perth, Australia Barat, merangkumi tujuh kawasan pajakan perlombongan yang diberikan meliputi 85.8 km persegi dengan anggaran 293,000 auns emas dan gred emas 2.0 berasaskan unjuran sumber mineral yang dijalankan pada tahun ini.

GTT dan Lazarus merupakan broker utama bersama bagi tawaran awam awal yang meraih dana berjumlah A$7 juta (RM21.80 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN