PETALING JAYA: Astro telah melancarkan Ultra Plug & Play Box yang menawarkan pengalaman tonton tanpa gangguan kepada program-program tempatan dan antarabangsa tanpa menggunakan piring satelit.
Ultra Plug & Play Box itu juga membenarkan pelanggan melakukan pemasangan secara sendiri dan seterusnya boleh menikmati ciri-ciri Ultra Box menerusi Rakaman Awan menggunakan fungsi ‘Play From Start’ dengan hanya menyambungkan Ultra Plug & Play Box ke TV dan internet.
Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad berkata, pihaknya komited untuk sentiasa menambah baik pengalaman pelanggan dengan menawarkan satu pengalaman yang lebih ringkas, demi memudahkan mereka membeli dan menikmati produk yang ditawarkan.
“Ultra Plug & Play Box itu direka berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pelanggan yang menginginkan produk atau perkhidmatan yang mudah untuk dipasang dan mampu menawarkan pengalaman tontonan secara berterusan, tanpa sebarang gangguan yang dicetuskan oleh keadaan cuaca.
“Kotak terbaharu itu turut hadir dengan video panduan ringkas yang memudahkan pelanggan untuk membuat pemasangan sendiri, pada bila-bila masa sahaja,” katanya dalam majlis pelancaran yang diadakan secara maya.
Ujarnya, pihaknya telah melaksanakan kajian percubaan pasaran untuk kotak itu dan sebanyak 87 peratus pelanggan berpuas hati dengan kaedah pemasangan sendiri kerana langkah-langkah yang perlu diikuti sangat mudah dan ringkas.
Azlin menjelaskan, kotak pemasangan sendiri itu dilancarkan tepat pada masanya ketika negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana rata-rata pelanggan memilih untuk mengurangkan kehadiran pemasang ke kediaman masing-masing.
Bagi yang berminat untuk melanggan, kotak baharu dan Kad SIM Astro akan dihantar menerusi kurier dan setiap komponen dipek bersama dengan langkah-langkah panduan pemasangan yang mudah untuk mengaktifkan perkhidmatan ini sendiri.
Pelanggan kotak itu juga boleh menikmati tontonan 4K UHD, strim sehingga 65,000 video di ondemand dengan Rakaman Awan, dan menggunakan fungsi ‘Play from Start’ selain menikmati sajian kandungan yang sama seperti di saluran-saluran TV sedia ada, yang kini boleh didapati menerusi perkhidmatan jalur lebar masing-masing.
Ultra Plug & Play Box bertindak lebih menarik jika digandingkan bersama perkhidmatan Astro & Broadband untuk mendapatkan nilai yang lebih hebat, dengan hanya satu bil untuk kesemuanya.
Pengaktifan kotak baharu itu adalah percuma untuk semua pelanggan Broadband yang melanggan mana-mana pek Astro dan pelanggan sedia ada dengan bayaran langganan lebih RM100 sebulan.
Untuk maklumat lanjut mengenai harga perkhidmatan tersebut, layari https://product.astro.com.my/tv atau WhatsApp 03 9543 3838 dan taip GET PNP. – UTUSAN










