PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan hampir RM15.9 juta bagi membantu kira-kira 50,000 pelajar sekolah sepanjang tahun, dalam usahanya untuk menyokong kemajuan pendidikan negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun berhadapan cabaran akibat pandemik Covid-19, agensi itu tetap meneruskan komitmennya membantu pembelajaran di peringkat sekolah melibatkan penajaan kemudahan pembelajaran atas talian, kelengkapan asas persekolahan murid dan aktiviti seperti bengkel, tuisyen serta persiapan peperiksaan.
“Sejak 2013 lagi kami telah menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa hadapan dan meringankan beban keluarga B40, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Bermula dengan Program Sekolah PINTAR yang diinspirasikan Khazanah Nasional, kami telah dapat mengasah pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,088 pelajar di sekolah terpinggir,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mahdzir, 11 sekolah luar bandar di seluruh negara telah terpilih untuk program yang sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti seperti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan.
“Tajaan kami memberi peluang kepada murid-murid meningkatkan keperibadian dan prestasi akademik mereka.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2023, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kesemua 11 sekolah angkat PINTAR ini akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM945,000,” katanya.
Selain itu, TNB turut melaksanakan Program Sekolah Amanah yang mana agensi itu membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program transformasi pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan.
Menurut Mahdzir, usaha sama TNB bersama Kementerian Pendidikan serta Yayasan Amir di bawah Khazanah Nasional itu memberi manfaat kepada 6,991 pelajar di sekolah-sekolah pinggir bandar.
“Bagi membantu murid-murid dari keluarga miskin bandar di sekitar ibu pejabat TNB di Bangsar pula, kami telah mengambil inisiatif memberikan elaun bernilai RM1,500 setahun untuk setiap pelajar sejak 2018.
“Sehingga 2020, sebanyak RM513,000 bantuan ini telah dimanfaatkan 150 pelajar,” katanya. – UTUSAN ONLINE