Tingkatkan strategi pengurangan bahaya tembakau - Utusan Malaysia

Tingkatkan strategi pengurangan bahaya tembakau

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mengumumkan akan menggubal akta baharu bagi mengawal ketat isu penjualan produk vape di pasaran tempatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau kini semakin popular di seluruh dunia dalam membantu menggalakkan perokok tegar untuk berhenti merokok melalui pengenalan produk alternatif yang kurang mudarat.

Namun, kesedaran tentang strategi mengurangkan kemudaratan tembakau masih di peringkat awal bagi negara Malaysia.

Berdasarkan data dari Imperial College London, kira-kira 98 juta pengguna di seluruh dunia sudah bertukar kepada produk alternatif yang kurang memudaratkan seperti rokok elektronik (vape) dan snus bagi menggantikan rokok tembakau.

Di England, pihak berkuasa kesihatan menyokong usaha perokok untuk bertukar kepada vape untuk berhenti merokok dan ia kini merupakan alat bantuan berhenti merokok yang paling popular.

Laporan Tindakan Terhadap Merokok dan Kesihatan (ASH) di United Kingdom (UK) mendedahkan, hampir 64.6 peratus pengguna vape semasa di Great Britain merupakan bekas perokok dan kadar ini terus meningkat.

Pakar dalam Ketagihan Merokok di Institut Psikiatri, Psikologi dan Neurosains, Kings College London, Profesor Ann McNeill berkata, England telah menggunakan pendekatan yang sangat seimbang dalam melaksanakan konsep pengurangan kemudaratan tembakau dengan mengambil kira pendekatan empati dan pendekatan berdasarkan bukti kukuh.

“Pendekatan empati bertumpukan kepada perokok, manakala satu lagi pendekatan adalah yang lebih bersandarkan bukti.

“Hasil daripada pelaksanaan konsep itu, negara ini juga telah mendahului carta Skala Kawalan Tembakau 2019, sebuah laporan yang menghuraikan aktiviti kawalan tembakau di 36 negara Eropah,” katanya dalam satu pembentangan Sidang e-Rokok Amerika Syarikat (AS) yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Sementara itu, dalam persidangan yang sama, pakar dalam bidang Kesihatan Penduduk dan Pengarah Sains Klinikal dan Penterjemahan, Arizona State University,  Profesor Scott Leischow menekankan kepentingan untuk tidak menimbulkan tanggapan negatif kepada perokok sepanjang usaha mereka untuk berhenti merokok.

Ujarnya, dalam melaksanakan inisiatif kawalan tembakau, banyak pihak menggunakan sisi negatif di dalam kempen-kempen mereka untuk mencapai matlamat mengurangkan daya tarikan kepada tembakau seterusnya mendorong orang ramai berhenti merokok.

“Sisi negatif adalah seperti mencela mereka yang tidak sihat dengan penyakit akibat merokok, berpandangan serong kepada pengguna vape, membuat dakwaan tidak berasas bahawa vape mempunyai tahap kemudaratan yang sama seperti tembakau serta menegur perokok yang berusaha berhenti merokok melalui penggunaan alternatif produk yang kurang mudarat.

“Strategi itu memaparkan sisi negatif keterlaluan dan menimbulkan beberapa kesan dan impak negatif,” kata Scott.

Beliau memberitahu, tanggapan negatif itu boleh dikurangkan dengan cara merujuk kepada seorang perokok.

Katanya, sebagai contoh, mengatakan seseorang itu bergantung kepada tembakau boleh dianggap rujukan yang lebih positif berbanding dengan ‘penagih tembakau’.

“Pendekatan lain termasuk menekankan kaedah penyelesaian dan menggunakan pendekatan yang lebih memahami situasi serta keadaan bagi mereka yang mengalami masalah kebergantungan kepada tembakau.

“Kesimpulannya, terdapat keperluan kempen kawalan penggunaan tembakau untuk mengurangkan tanggapan negatif bagi membantu perokok berhenti merokok dan diterapkan ke dalam strategi kawalan tembakau secara komprehensif,” jelas Scott.

Hasil penemuan tersebut amat penting bagi negara-negara seperti Malaysia untuk memacu usaha mengurangkan penggunaan rokok dalam masyarakat.

Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), 88 peratus daripada pengguna vape yang sebelumnya menghisap rokok, telah berjaya berhenti merokok.

Tinjauan sama juga mendapati 79 peratus yang kini menggunakan vape dan menghisap rokok biasa pada masa yang sama telah mengurangkan bilangan rokok yang dihisap sejak menggunakan vape.

Justeru, kajian, pendidikan dan latihan selanjutnya harus dipertimbangkan di Malaysia untuk merangka strategi kawalan tembakau yang berkesan demi membantu perokok dalam usaha untuk berhenti merokok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.