PETALING JAYA: Sebanyak 60,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan masing-masing bakal menerima manfaat Shopee bernilai hingga RM3,000 daripada program Go-eCommerce Onboarding.
Inisiatif di bawah Belanjawan 2021 itu bertujuan mendorong pengguna e-dagang sebagai saluran perniagaan dalam kalangan PMKS dan warganegara Malaysia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
Shopee juga membiayai inisiatif itu melalui kerjasama Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Shopee dalam satu kenyataan berkata, penjual Shopee sedia ada (yang telah berdaftar sebagai penjual di Shopee sebelum 1 Julai 2021) akan menerima baucar pulangan Tunai Syiling Shopee bernilai RM2,500 untuk kedai di Shopee dan rebat yuran perkhidmatan bernilai hingga RM500.
“Selain itu, penjual Shopee baharu (telah berdaftar sebagai penjual di Shopee dari 1 Julai 2021) akan menerima baucar pulangan tunai syiling Shopee bernilai RM1,500 untuk kedai di Shopee dan rebat yuran perkhidmatan bernilai hingga RM1,500.
“Kedua-dua manfaat yang ditawarkan itu akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli daripada penjual baharu. Ia akan memacu jualan mereka terutama pada peringkat awal berada di Shopee, bagi mendorong pertumbuhan perniagaan dengan lebih berkesan lagi,” katanya.
Bagi penjual sedia ada pula, difahamkan ramai yang mempunyai perniagaan runcit luar talian yang terkesan oleh pandemik yang melanda negara. Manfaat daripada program ini akan membantu mengurangkan kesan daripada pandemik dan mengekalkan aliran tunai bagi mereka melalui jualan menerusi e-dagang.
Menurut platform e-dagang itu, Go-eCommerce Onboarding layak disertai oleh penjual Shopee yang berdaftar yang merupakan warganegara Malaysia, atau tergolong dalam kategori PMKS seperti yang ditentukan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia.
Katanya, bagi PMKS, lebih 50 peratus daripada saham syarikat haruslah dimiliki oleh warganegara Malaysia atau entiti tempatan, serta jualan bulanan kedai tidak boleh melebihi RM4 juta.
Program itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif e-dagang Penjana pada tahun lalu yang dikenali sebagai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS sebelum dijenamakan semula kepada Go-eCommerce Onboarding.
Shopee memberitahu, lebih daripada 40,000 PMKS telah didigitalkan melalui kempen tahun lalu yang berlangsung dari Julai hingga September 2020.
“Ia telah menyaksikan PMKS yang mengambil bahagian mencatatkan peningkatan jualan harian sebanyak 158 peratus setelah menerima manfaat yang ditawarkan,” jelasnya. – UTUSAN










