PETALING JAYA: Rakyat kini ibarat berada dalam keadaan koma.
Perumpamaan itu diberikan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George mengenangkan nasib pelbagai lapisan masyarakat yang kini tertekan akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Kata beliau, masa depan rakyat juga masih menjadi tanda tanya melihat kepada situasi pandemik dalam negara ketika ini.
Beliau menegaskan, kerajaan mengambil langkah yang baik dengan memperkenalkan pakej-pakej bantuan untuk rakyat namun apa yang lebih penting ialah menyelami masalah di peringkat akar umbi rakyat dan menyelesaikannya dengan lebih teliti.
“Kerajaan perlu turun padang dan selami keadaan pengguna serta mendengar rintihan rakyat dalam tempoh pandemik ini. Keadaan akar umbi negara dan pengguna menjadi tertekan dan kami semua tertanya-tanya, apakah langkah seterusnya?
“Moratorium yang diberikan juga mempunyai definisi masing-masing dan faedah masih akan dikenakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, berdasarkan apa yang berlaku dalam akar umbi dan jawapan yang diberikan oleh pemimpin, beliau tidak dapat melihat masa depan dan kesannya terhadap pengguna.
“Apa yang dilihat setakat ini hanyalah definisi petugas barisan hadapan yang telah disalahgunakan dan ramai petugas barisan hadapan yang bergelut dalam sistem penjagaan kesihatan kita,” kata Jacob.
Jacob memberitahu, jika perkara itu berterusan, imej negara akan terjejas dan persepsi negara-negara jiran terhadap Malaysia akan berubah.
“Selagi belum tahu apa masalah yang sedang dihadapi di akar umbi, kita tidak akan mampu menyelesaikannya. Pemimpin harus menjadi pemimpin untuk rakyat dan bukan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKM), Datuk Ramli Norani pula berkata, bantuan-bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan merupakan perkara yang munasabah dah berpatutan bagi membantu rakyat dan ekonomi negara walaupun ia berisiko untuk meningkatkan beban hutang pengguna.
Kata beliau, moratorium dan bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan sangat membantu rakyat dan peniaga-peniaga kecil meneruskan kelangsungan hidup.
“Dalam waktu yang sukar ini, kita tidak harus terlalu memikirkan tentang beban hutang kerana kesannya bergantung kepada keadaan pelaburan ekonomi pasca Covid-19.
“Yang pentingnya sekarang, perlu menjaga kebajikan rakyat dan peniaga-peniaga kecil kerana masalah kewangan telah membuatkan kes bunuh diri dalam negara semakin meningkat,” katanya.
Justeru, katanya, buat masa ini masalah pinjaman jangka pendek tidak perlu terlalu difikirkan kerana meneruskan kelangsungan hidup lebih penting berbanding seseorang mengakhiri kehidupannya kerana menghadapi masalah kewangan.
Namun Ramli menjelaskan, bantuan kerajaan itu haruslah bersifat jangka panjang dengan faedah yang tidak membebankan pengguna. – UTUSAN ONLINE