PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memulakan proses vaksinasi semua kakitangannya bermula hari ini.
Menurut Proton, pekerja di Tanjung Malim dan Shah Alam yang belum divaksin akan mendapat temu janji melalui aplikasi MySejahtera.
Jelasnya, proses itu akan berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang berdaftar akan mendapatkan dos pertama mereka.
Tambahnya, bagi mempercepatkan usaha di Tanjung Malim, syarikat telah bekerjasama dengan pihak berkuasa peringkat negeri dan Persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai pusat pemberian vaksin industri (PPVIN).
“Dengan kapasiti maksimum harian lebih kurang 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan warga Proton serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin mereka.
“Bagi kakitangan di Shah Alam pula, mereka akan mendapat vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kerana kekangan ruang yang besar dan syarat pematuhan SOP diperlukan oleh Proton untuk mewujudkan PPV sementara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berharap, usaha itu akan membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia.
“Dengan inisiatif sama dari syarikat lain, ia mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Menurut Proton, dengan permulaan hari ini, proses vaksinasi akan diulangi semula tiga minggu kemudian bagi warga Proton mendapatkan dos kedua mereka.
“Syarikat menjangkakan kebanyakan kakitangan akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos,” katanya. – UTUSAN










