PETALING JAYA: Langkah mengeluarkan atau mengusik wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Citra, dikhuatiri bakal mencetuskan krisis sosial di masa hadapan.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, itu kerana apabila mereka yang telah mengeluarkan wang KWSP itu bersara, mereka tiada aliran pendapatan dan terpaksa bergantung hidup kepada pewaris atau kerajaan.
“Kesan jangka panjangnya amat menggusarkan, khasnya kepada mereka yang mempunyai tabung KWSP yang sedikit.
“Kerajaan harus bersikap proaktif dan menyediakan ‘jaring keselamatan’ kepada golongan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut-, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika wang simpanan itu kerap dikeluarkan ia akan memberi kesan kepada pencarum untuk jangka masa sederhana dan panjang.
Ujarnya, jika jumlah caruman makin sedikit, pengeluaran i-Citra akan menyebabkan pencarum tidak mampu untuk menggunakan 17 kemudahan di bawah Akaun 2 yang merangkumi bantuan pendidikan, perumahan, kesihatan dan sebagainya.
“Bagi kesan jang panjang pula, pencarum yang mengeluarkan i-Citra tidak akan mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan.
“Mengikut statistik, sekitar RM3 juta pencarum KWSP tidak akan mempunyai lagi simpanan di dalam KWSP sekiranya mereka mengeluarkan duit dari i-Citra,” jelasnya.
Selain itu, menurut Ahmed Razman, 54 peratus daripada mereka yang berumur 54 tahun sekarang mempunyai kurang dari RM50,000 untuk hari persaraan mereka dalam masa setahun.
Beliau berkata, dengan kemudahan pengeluaran i-Citra itu, peratusan itu dijangka akan semakin meningkat.
Sementara itu, bagi kesan terhadap dividen tahunan KWSP pula, Ahmed Razman memberitahu, pengeluaran yang dijangka sekitar RM30 bilion menerusi i-Citra itu tidak akan menjejaskan dividen tahunan KWSP.
“Itu kerana, sejak beberapa tahun lepas KWSP telah menstrukturkan pelaburan mereka untuk memastikan dividen tahunan dapat diberi dengan kadar yang tinggi.
“Antara strateginya ialah meningkatkan pelaburan dalam ekuiti terutamanya ekuiti luar negara yang memberikan pulangan yang lebih tinggi dari kelas aset yang lain.
“Seterusnya, aset KWSP mengikut nilai pasaran telah mencecah RM1 trillion ringgit. Oleh itu, pengeluaran sebanyak RM30 billion tidak akan menjejaskan pelaburan KWSP, ditambah pula dengan peningkatan melebihi RM20 billion setiap tahun dari caruman ahli,” katanya.
KWSP memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Citra untuk membantu ahli KWSP menghadapi cabaran kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam jangka masa pendek.
Permohonan pengeluaran i-Citra itu boleh dilakukan mulai 15 Julai lalu dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.
Semua ahli di bawah umur 55 tahun layak untuk memohon i-Citra, yang membolehkan mereka mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di kedua-dua Akaun 1 dan 2. – UTUSAN










