Pemulih perlu ditambah baik untuk industri hotel - Utusan Malaysia

Pemulih perlu ditambah baik untuk industri hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini perlu ditambah baik agar dapat memberi kesan yang lebih menyeluruh untuk industri perhotelan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, antaranya melibatkan diskaun elektrik yang diberi hanya sepuluh peratus berbanding 50 peratus yang dicadangkan pihaknya.

Kata beliau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaporkan RM3.4 bilion tahun lalu dan RM958 juta untuk suku pertama 2021 sahaja.

“Diskaun 10 peratus tidak membantu pada masa ini yang mana kadar penginapan hotel dijangka tidak melebih 20 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 202 buah hotel di bawah MAH terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji kepada pekerjanya disebabkan kerugian operasi sepanjang pandemik Covid-19.

Jumlah itu meliputi 63.13 peratus daripada 320 hotel yang menyertai tinjauan oleh MAH.

Tambah Lip Seng, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan sehingga Disember 2021 boleh dilihat sebagai insentif kepada pelanggan untuk berbelanja di hotel namun pelaksanaannya diharap akan dilanjutkan sehingga hujung 2022 kerana pergerakan rentas negeri dan daerah masih dilarang dan sektor perhotelan tidak dapat beroperasi seperti biasa ketika ini.

Beliau turut difahamkan bahawa pengecualian cukai kali ini apabila pengecualian hanya diberikan untuk penginapan atau bilik hotel sahaja, tidak untuk perkhidmatan lain dalam hotel seperti dilaksanakan sebelum ini.

“Ini bukan sahaja menyusahkan pengurusan cukai di hotel tetapi juga tidak membantu pemulihan sektor perhotelan,” katanya.

Lip Seng turut membangkitkan pengecualian levi Pembangunan Sumber Manusia sehingga akhir tahun yang tidak diberikan kepada industri hotel manakala bantuan sekali beri sebanyak RM3,000 hanya diberikan kepada agensi pelancongan, bukan hotel.

“Bantuan inisiatif Pemulih perlu ditambah baik dengan bantuan spesifik untuk industri pelancongan dan perhotelan.

“Antara yang kritikal ialah subsidi upah yang lebih tinggi dan dijamin untuk sektor perhotelan serta diskaun elektrik 50 peratus untuk hotel sehingga akhir tahun.

“Bagi memastikan implementasi Pelan Pemulihan Negara (PPN) pula, pelan awal pembukaan semula sektor pelancongan perlu dibuat sekarang dan industri bersedia memberi sokongan kepada kerajaan dalam pelaksanaan gelembung pelancongan atau sandbox pelancongan untuk destinasi-destinasi terpilih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN